DEWAN Undangan Negeri (DUN) Selangor sebulat suara menyokong usul tergempar yang mengecam keganasan dalam sukan terutamanya bola sepak hingga boleh mengancam kehidupan dan karier atlet.
Usul yang dikemukakan oleh Abbas Salimmi Che Adzmi (Seri Serdang) ketika Kajian Separuh Penggal RS-1 (KSP RS-1) pada Jumaat mahukan penyiasatan komprehensif terhadap kes simbah asid yang melanda pemain Selangor FC, Faisal Halim pada Mei lalu.
Usul tersebut sebulat suara diterima oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor baik di pihak kerajaan atau pembangkang.
BACA LAGI: Tinggal 5 peratus lagi Faisal Halim akan pulih sepenuhnya
BACA LAGI: Bakal kembali ke padang, Faisal akan jalani latihan rehabilitasi bantu pulih kecergasan tahap rendah
Najwan (kiri) menyokong usul tergempar mengecam keganasan dalam sukan. — Agensi
Menurut Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri, Najwan Halimi, beliau berpendapat usul tersebut merupakan bukti kesatuan antara pihak kerajaan dan pembangkang dalam perkara tersebut.
Ia menjadi bukti yang kedua-dua pihak mempunyai pendirian tegas menentang apa jua jenis keganasan yang berlaku terhadap ahli sukan.
"Kita juga harus pastikan pihak berkuasa menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan sewajarnya, selain dalam masa sama turut memberi makluman kepada kita mengenai status terkini atau perkembangan siasatan kes tersebut.
"Solidariti kita bukan hanya melibatkan kes Faisal Halim tetapi juga atlet lain yang menjadi mangsa jenayah dalam beberapa insiden baru-baru ini,” kata Najwan.
Dalam pada itu, Hilman Ilham (Gombak Setia) berpendapat yang insiden menimpa Faisal itu bukan sekadar satu jenayah tetapi merupakan isu kemanusiaan.
Beliau berpendapat hal tersebut tidak sepatutnya berlaku dan mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh secara profesional, tanpa kompromi dan tegas.
Selain Najwan dan Hilman, beberapa ADN lain turut berbahas berkenaan perkara itu iaitu Ong Chun Wei (Balakong), Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad (Lembah Jaya), Mu'izzuddeen Mahyuddin (Hulu Bernam) dan Wan Dzahanurin Ahmad (Sungai Kandis). — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram