SEJAK menyertai Selangor FC pada 2023, Noor Al-Rawabdeh segera menjadi watak utama pasukan Lembah Klang itu dengan pelbagai peranan berjaya dipikulnya.
Hantarannya sering mengelirukan pihak lawan kerana dia memiliki pengalaman beraksi di pentas lebih tinggi buat Jordan dalam beberapa perlawanan disertainya.
Malah, dari segi pertahanan, pemain berusia 27 tahun itu juga jarang mengecewakan memandangkan dia sering memberi bantuan terhadap rakan sepasukannya di barisan belakang.
BACA LAGI: Tak kecewa, fans Pahang dan Kedah pasrah kelab masing-masing gagal peroleh lesen AFC
BACA LAGI: AFC sokong cadangan Palestin, mahu FIFA gantung Israel dari bola sepak
Kualiti Noor diangkat sebagai salah seorang watak utama skuad Gergasi Merah.
Jadi, tidak hairanlah apabila namanya sering diangkat sebagai salah seorang pemain tengah import terbaik dalam Liga Super ketika ini.
Kualitinya tersebut turut diakui di pentas Asia apabila laman media sosial @TheAFCCL mengakui kebolehan Noor boleh membantu Selangor FC dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 2024/25.
"Seorang bintang buat negara dan kelabnya. Noor Al-Rawabdeh dilihat boleh mengemudi Selangor FC ke arah kejayaan di tahap lebih tinggi," tulisnya.
Hantaran berkenaan sudah tentu membuktikan badan bola sepak Asia itu mengakui kebolehan bintang skuad kebangsaan Jordan tersebut dalam pertandingan akan datang.
Untuk rekod, Noor sudah mencatatkan 33 penampilan secara keseluruhan buat skuad Gergasi Merah dengan lima gol dan empat bantuan jaringan dihasilkan.
Sekiranya persembahan itu dapat diteruskan, tiada sebab untuk pemain berkenaan bergelut untuk membantu Selangor FC dalam saingan ACL2.
Pasukan bimbingan Nidzam Jamil layak ke pertandingan itu selepas menamatkan kempen Liga Super 2023 di kedudukan naib juara.
Pencapaian itu sekali gus menamatkan penantian kira-kira lapan tahun buat Selangor FC untuk bersaing dalam saingan peringkat Asia selepas kali terakhir melakukannya pada 2016. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram