
SELANGOR FC mengambil pendekatan berani apabila mahu mengheret Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berkenaan hukuman diterima mereka kerana tidak menghadirkan diri ke Piala Sumbangsih.
MFL bertindak menghukum Selangor dengan denda sebanyak RM100,000, pemotongan tiga mata liga, perlu membayar pampasan kepada penganjur liga itu termasuk Johor Darul Ta'zim (JDT) yang merupakan lawan mereka pada perlawanan tersebut serta diarahkan beraksi tanpa penonton pada aksi berdepan Harimau Selatan di laman Gergasi Merah.
Akan tetapi, hukuman tersebut diringankan kepada denda RM60,000 serta Selangor perlu membayar pampasan sahaja selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka atas tindakan MFL itu.
BACA LAGI: Selangor FC upah peguam heret MFL ke mahkamah timbang tara
BACA LAGI: Jatuh hukum, beri 'diskaun' ikut titah, mana kredibiliti MFL?
Walaupun menerima 'diskaun' hukuman, tetapi Selangor teguh dengan pendirian untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap MFL. Menurut pemerhati bola sepak tempatan, Sadek Mustaffa, ia adalah satu tindakan yang difahami.
Hal ini kerana, Sadek berpendapat Selangor mempunyai alasan yang kukuh untuk membawa penganjur liga tersebut ke muka pengadilan.
Dengan mempunyai alasan kukuh, ia membolehkan Selangor untuk mempunyai peluang memenangi kes tersebut tetapi masih tertakluk kepada hujahan mereka kelak.
"Semua ni bergantung bagaimana Selangor meletakkan hujah mereka ketika di CAS serta peguam-peguam yang dilantik pihak kelab," kata Sadek kepada Majoriti.
Faisal Halim (kanan) menjadi mangsa disimbah asid beberapa hari sebelum Piala Sumbangsih.
Melihat kepada tindakan berani Selangor, Sadek berpendapat tindakan kelab itu patut dicontohi kelab atau pemain lain. Hal ini kerana, keputusan dikeluarkan oleh CAS adalah diiktiraf.
Pada hematnya, CAS adalah tempat terakhir untuk sesebuah pemain atau pasukan mendapatkan keadilan.
"Sekiranya setiap individu atau kelab yang terlibat dalam sukan secara kompetitif mempunyai hak membawa kes mereka ke CAS.
"Yang jelas, CAS adalah platform yang memberikan peluang terakhir yang diiktiraf untuk mereka membela nasib mereka dalam sukan yang ditandingi. Malah, keputusan CAS adalah diiktiraf di peringkat antarabangsa," jelas Sadek.
Melihat ke masa depan, Sadek berpendapat keputusan CAS tersebut akan mengubah wajah bola sepak kita.
Tidak kira Selangor menang atau tidak kes tersebut, ia memberikan impak kepada MFL dan pihak lain dalam sukan tersebut.
"Kalah atau menang dalam kes yang bakal dibawa Selangor di CAS, (akan) memberikan impak kepada MFL, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kelab-kelab dan pemain-pemain yang bermain dalam Liga Malaysia.
"Bagi MFL, FAM dan kelab perlu kemaskan tadbir urus mereka dalam semua aspek pengurusan kelab, pemain dan pegawai-pegawai yang terlibat. Sebarang kekurangan dan kelemahan mereka boleh dibawa ke mahkamah oleh pemain atau pegawai yang terlibat dalam liga," ulas Sadek. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram