PEMASANGAN lampu baharu di laluan bawah jejantas di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, Selangor baru-baru ini mengundang kebimbangan dan reaksi masyarakat.
Ia selepas seorang pengguna Twitter (X) @HezeriSamsuri memuat naik gambar memaparkan pencahayaan lampu yang berwarna-warni iaitu merah, biru dan hijau.
Pemilihan lampu itu bagaimanapun dilihat akan membahayakan para pengguna jalan raya lebih-lebih lagi ketika waktu malam.
BACA LAGI: Jalan depan rumah bukan tempat parkir, patutnya dikosongkan untuk kegunaan kecemasan
Jejantas di Bandar Saujana Putra yang sudah beroperasi Jun lalu. — TikTok/AsrulHansem
Pemilik akaun tersebut berkata, orang ramai kini mula mengadu bahawa warna lampu tersebut boleh mengelirukan pengguna kerana jaraknya yang dekat dengan lampu isyarat.
"Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mana lah yang pilih lampu warna-warni kat bawah tu? Orang dah mengadu boleh keliru kalau sedang memandu," tulisnya.
Perkara itu juga tidak dinafikan kerana menurut Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Law Teik Hua, warna tersebut berpotensi mengelirukan pemandu dari jarak jauh terutamanya ketika cuaca buruk seperti hujan lebat.
Justeru, beliau mencadangkan pihak berkuasa mengambil tindakan bagi mengurangkan risiko serta kebimbangan orang ramai terhadap keselamatan di jalan raya.
Beliau bagaimanapun tidak membantah terhadap langkah memasang lampu di bawah jejantas tersebut kerana ia sememangnya penting bagi pengguna.
Dr Law Teik Hua
Namun, beliau turut menyarankan agar pihak bertanggungjawab mengubah suai warna lampu berkenaan atas tujuan keselamatan.
"Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak kontraktor perlu memilih dan menggunakan warna pencahayaan yang berbeza dengan warna lampu isyarat di kawasan itu," katanya kepada Majoriti.
Untuk rekod, jejambat Bandar Saujana Putra sepanjang 820 meter yang siap dibina itu sudah beroperasi sepenuhnya bermula Jun lalu dengan bertujuan mengatasi kesesakan trafik kawasan sekitar.
Jejantas atau jejambat itu juga menghubungkan Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).
Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM60 juta untuk membina jejantas baharu bagi mengatasi masalah kesesakan di kawasan tersebut.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, jejantas tersebut turut memberi manfaat buat kira-kira 65,000 penduduk di situ serta pengguna SKVE dan ELITE, dari arah Bandar Saujana Putra. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram