'Saya membesar dengan cita-cita beraksi di padang stadium itu', legenda Perak anggap SSA seperti rumah kedua


  • Podium
  • Selasa, 09 Jul 2024

Saravanan (kanan) menceritakan kisah menyentuh hati di sebalik kemegahan Stadium Shah Alam yang sedang dirobohkan.

KEROSAKAN pelbagai kemudahan serta kos pemeliharaan yang tinggi menyaksikan Stadium Shah Alam, Selangor terpaksa dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembangunan kompleks sukan baharu.

Keputusan itu pada awalnya menerima tentangan pelbagai pihak yang berasakan kerajaan negeri sepatutnya mencari jalan alternatif untuk memberi 'nafas' baharu terhadap venue megah itu.

Bagi mereka, perlawanan bertaraf lima bintang yang pernah berlangsung di stadium tersebut menjadikannya salah satu mercu tanda penting dalam dunia bola sepak tanah air.

BACA LAGI: Kehadiran Khalid Jamlus, Saravanan tak padam persoalan ketiadaan ex-Perak dalam aksi 'friendly'

BACA LAGI: Ada hari bergelut, tapi sayangkan Perak bantu saya tak putus semangat — Saravanan

Drone shot of Shah Alam Stadium. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Keadaan semasa Stadium Shah Alam memaksanya untuk dirobohkan.

Jadi, untuk mengimbau kenangan masing-masing di Stadium Shah Alam, ramai daripada mereka meluahkan kenangan di media sosial.

Malah, beberapa ikon dan figura tempatan turut berbuat demikian, lebih-lebih lagi dalam kalangan pemain yang pernah berkesempatan beraksi di venue tersebut.

Antara daripada mereka ialah bekas pemain Perak FA, V Saravanan yang merupakan tonggak utama sepanjang dua kali dia berkhidmat untuk kelab terbabit.

Dalam satu hantaran di akaun Facebook, dia menceritakan bagaimana Stadium Shah Alam memiliki nilai tersendiri buatnya, baik sebagai pemain mahupun peminat bola sepak.

2168447

Saravanan kini mencurahkan bakti sebagai pembantu jurulatih Perak FC.Facebook/Sara Vellu

"Saya membesar dengan cita-cita beraksi di padang stadium itu. Kenangan menonton Piala Dunia Belia 1997, masih segar di ingatan dan jiwa saya.

"Pada tahun 2000 pula, satu momen bermakna tersemat dalam jiwa saya. Bukan hanya kerana kita memasuki milenium baharu, tetapi kerana harapan saya itu tercapai.

"Ia adalah satu petang yang agak terik di Shah Alam dengan sorakan penyokong memenuhi dan bergema di dalam stadium bagi perlawanan yang akan berlangsung," katanya.

Perkongsian itu seakan-akan menceritakan pertembungan antara skuad The Bos Gaurus (TBG) dan Negeri Sembilan FA dalam perlawanan akhir Piala Malaysia.

Aksi tersebut sudah tentu sukar dilupakan Saravanan memandangkan pasukan diwakilinya itu berjaya membawa pulang trofi selepas mencatatkan kemenangan 2-0.

92793794_256526878813454_8458903596589645824_n

Skuad TBG mencipta sejarah dengan menjuarai Piala Malaysia 2000 di Stadium Shah Alam.

Kejayaan itu pastinya sukar dilupakan memandangkan pemain berkenaan berpeluang mengharumkan nama negeri kelahirannya di samping meletakkan Perak FA sebagai salah sebuah pasukan digeruni.

"Sejak memasuki padang, saya dapat berasakan ia adalah rumah kedua saya kerana saya dapat merasai rentak dalam setiap sesi pemanas badan, sebelum perlawanan dan setiap kali meraikan kejayaan dengan rakan sepasukan.

"Saya berasa sedikit sedih untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Stadium Shah Alam. Saya merasai kehilangan yang hebat dan dalam masa sama, rasa penghargaan terhadap momen yang akan terus diabadikan," katanya lagi.

Kini, Saravanan merupakan pembantu jurulatih kepada Yusri Che Lah dalam skuad utama Perak FC dengan pengalamannya dalam bidang kejurulatihan di Finland amat dihargai pihak pengurusan.

Meskipun masih belum membuahkan hasil seperti mana diharapkan, kehadirannya disokong peminat setia skuad TBG yang cukup tertarik dengan stigma anak jati dalam pasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram