Teguran Sultan, 3 momen payung kuning 'bersuara' demi bola sepak negara


  • Podium
  • Jumaat, 28 Jun 2024

Isu yang timbul dalam landskap bola sepak tanah air perlu diselesaikan dengan pendekatan terbaik. — Vocket FC

LANDSKAP bola sepak tanah air hari ini semakin hangat selepas Liga Bola Malaysia (MFL) memberi hukuman terhadap Selangor FC yang menarik diri daripada perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

Hukuman berupa denda dan arahan menanggung kos dikeluarkan JDT serta MFL terhadap penarikan diri itu merupakan antara tindakan diambil.

Perkara itu jelas meraih respons daripada orang ramai, termasuk Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang kecewa akan kenyataan dikeluarkan MFL tersebut.

BACA LAGI: Hamidin bakal menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah, sudah hubungi Istana Selangor

BACA LAGI: Akur titah Sultan Selangor, MFL kurangkan denda, batal pemotongan 3 mata Gergasi Merah

449038719_18341480485136613_5424173058787398349_n

Kenyataan dikeluarkan Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap hukuman dihadapi Selangor FC.

Situasi tersebut sudah tentu mencuri tumpuan kerana sudah terlalu lama seorang sultan memasuki gelanggang bola sepak negara dengan tujuan memberi peringatan atau nasihat.

Luahan daripada Sultan Selangor itu jelas membuahkan hasil selepas MFL pada Khamis mengumumkan segala bentuk hukuman dikenakan terhadap skuad Gergasi Merah bakal diringankan.

Tetapi, ini bukanlah kali pertama seorang yang berkuasa pernah mencalar duli dan berbuat demikian kerana arena bola sepak tanah air cukup rapat dengan golongan tersebut.

Jadi, berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan tiga momen sukan kesayangan ramai itu menerima tumpuan daripada pihak istana berikutan isu yang timbul.

1. Tunku Azizah Aminah kecewa tifo anjing

Sebelum kehadiran Tunku Ismail Idris dalam tampuk pemerintahan FAM, 'kerusi panas' itu diisi Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memegangnya dari 2014 sehingga 2017.

Sepanjang pemerintahan Baginda, terdapat beberapa isu dalam dunia bola sepak negara yang membuatkan sebahagian besar penyokong mendesak supaya terdapatnya rombakan dibuat.

Namun, bagi penyokong JDT, luahan sahaja tidak cukup apabila dalam satu aksi Liga Super menentang Pahang di Stadium Larkin, Johor pada 2015, mereka bertindak mempamerkan tifo penuh kontroversi.

Dalam kain rentang yang amat besar itu, kelihatan figura seseorang berkepala anjing dengan logo FAM kelihatan di bajunya selain menceritakan individu berkenaan hanya memikirkan mengenai wang ringgit.

Tindakan itu jelas menimbulkan pelbagai respons negatif, lebih-lebih lagi dengan Sultan Abdullah ketika itu merupakan Presiden FAM.

Malah, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang merupakan Tengku Ampuan Pahang menceritakan kekecewaannya akan penyokong skuad Harimau Selatan.

"Sebagai anak kelahiran Johor yang bermastautin di negeri Pahang dan suami saya merupakan Presiden FAM, saya malu dengan tindakan peminat bola sepak dan hanya ini komen saya. Biadap dan kurang ajar, ayah saya tidak didik saya seperti ini," katanya.

2. Tunku Ismail Idris tegur isu gaji Sarawak United

Kehadiran Tunku Ismail Idris dalam arena bola sepak negara merupakan salah satu titik perubahan yang menyaksikan sukan tersebut semakin moden meskipun terdapat pihak yang berasa sebaliknya.

Namun, aura yang disuntik tidak dapat mengelakkan kelab-kelab Liga Super daripada terpalit dengan isu tersendiri, lebih-lebih lagi dalam masalah tunggakan gaji.

Salah sebuah pasukan berada dalam kemelut itu ialah Sarawak United yang tergelumang dalam masalah itu pada 2022, setahun sebelum mereka tersingkir daripada divisyen teratas bola sepak tempatan.

1719153

Peringatan Tunku Ismail Idris terhadap isu tunggakan gaji Sarawak United pada 2022.

Jadi, dalam membuka mata pihak pengurusan mengenainya, pemilik JDT itu bertindak membuat teguran secara terbuka terhadap kelab Borneo tanah air itu.

"Bayar gaji," katanya pendek dalam satu komen di laman Instagram sehingga membuatkan Sarawak United seperti tidak senang duduk dengan perkara itu.

Tetapi, peringatan itu seperti tidak membawa sebarang impak apabila skuad Ngap Sayot masih tidak menerima bayaran gaji selepas kira-kira dua tahun daripada perkara itu berlaku.

3. Sultan Nazrin tegur logo Perak FC

Identiti seekor seladang sememangnya cukup sinonim dengan Perak FC sehingga mereka digelar skuad The Bos Gaurus (TBG) untuk menceritakan imej mereka yang sukar dikekang.

Bagaimanapun, pada 2021, kelab Utara tanah air itu mengambil satu langkah drastik berkaitan perkara berkenaan apabila mengubah logo pasukan.

Logo yang memaparkan seekor seladang berwarna hitam tersebut menerima respons kurang senang daripada pelbagai pihak kerana ia seakan-akan memadam identiti kelab.

285008296_5069615979783053_8865523015177924650_n

Logo skuad TBG yang menerima tumpuan Sultan Perak serta orang ramai.

Malah, perkara berkenaan turut menerima perhatian Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menitahkan satu pertandingan diadakan untuk mencari corak baharu.

Baginda bertitah nasihat agar maklum balas daripada penyokong didengar, dihormati dan diberikan perhatian susulan reaksi mereka yang kurang berminat dengan logo baharu dipersetujui pihak pengurusan Perak FC.

Usaha itu membuahkan hasil apabila beberapa bulan kemudian, satu pertandingan diadakan dengan salah satu daripada penyertaan dipilih untuk digunakan skuad TBG.

Bagaimanapun, pada 2022, logo pasukan sekali lagi diubah selepas syarikat telekomunikasi, XOX Sports Sdn Bhd mengambil alih pengurusan pasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram