KETIKA ini, barisan kejurulatihan Perak FC diketuai jurulatih kelahiran Perlis, Yusri Che Lah yang sekali lagi diberikan peluang untuk membuktikan kebolehannya.
Dia yang sebelum ini mengendalikan skuad muda kelab itu dilantik pihak pengurusan bagi menggantikan Datuk Lim Teong Kim rentetan daripada keputusan yang kurang membanggakan.
Namun, sepanjang berada di bawah bimbingan jurulatih berusia 47 tahun itu, skuad The Bos Gaurus (TBG) masih gagal untuk memulihkan kedudukan mereka dalam Liga Super.
Selepas empat perlawanan, kelab Utara tanah air itu hanya mencatatkan satu mata hasil keputusan seri dengan Kelantan United pada Jumaat.
Prestasi kurang meyakinkan itu menyebabkan segelintir penyokong skuad TBG mengharapkan pihak pengurusan sekali lagi melakukan perubahan dalam usaha mereka untuk menambah baik kedudukan dalam carta Liga Super.
Antara nama disebut-sebut sebagai calon terbaik ialah bekas pemain yang kini menggalas tanggungjawab sebagai pembantu kepada Yusri, V Saravanan.
Di samping mempunyai pengalaman di luar negara, individu berkenaan juga dilihat mempunyai satu nilai sentimental dengan Perak FC memandangkan dia meluangkan majoriti daripada karier permainannya dengan kelab berkenaan.
Saravanan dilantik sebagai salah seorang staf kejurulatihan pada awal Januari lalu. — Facebook/Perak FC
Tidak cukup dengan itu, status Saravanan sebagai anak jati Ipoh, Perak cukup dihargai memandangkan ciri-ciri berkenaan akan membakar lagi semangatnya jika diberikan peluang.
Namun, dalam satu hantaran di Facebook peribadinya baru-baru ini, individu berkenaan seolah-olah dengan sengaja membakar lagi minat penyokong skuad TBG.
"Tujuh bulan, 16 perlawanan dan sesi latihan yang tidak terkira. Pengorbanan perlu dibuat dengan meninggalkan keluarga serta tempat yang cukup serasi dengan saya.
"Tetapi, saya hanya kembali untuk menabur bakti buat Perak, negeri yang sudah membantu saya untuk berada di sini, beri saya nama dan satu karier," tulisnya pada Ahad.
Sebelum ini, Saravanan difahamkan menetap di Finlad untuk beberapa tahun selepas memulakan karier kejurulatihannya dengan skuad belia HJK Helsinki.
Bagaimanapun, sejak pengurusan Perak FC berubah pada penghujung musim lalu, dia diberikan kepercayaan untuk menjadi salah seorang staf kejurulatihan di bawah Teong Kim.
Selain itu, seorang lagi bekas pemain, Raja Azlan Shah Raja So'ib juga diberi peluang, namun masih belum membawa semula zaman kegemilangan kelab berkenaan.
"Ya, ada hari yang sukar dan mencabar, tetapi ada satu perkara yang membantu saya supaya terus berusaha, iaitu pemain, pasukan dan semangat untuk menghidupkan semula Perak.
"Saya juga mahu berterima kasih kepada sesiapa yang percaya dengan proses dan percaya dengan saya. Ayuh kita berusaha untuk mencapai cita-cita yang ditetapkan sejak awal dulu, iaitu untuk mencatatkan kemenangan," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram