PENYOKONG Penang FC mengukir senyuman selepas dikhabarkan bakal menerima kepulangan import yang cukup terkenal menjelang jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) Ogos nanti.
Meskipun hanya separuh musim 2022 menabur bakti bersama Harimau Kumbang namun impak yang ditinggalkan oleh Lucas Silva cukup hebat.
Bersama Penang, Silva yang beraksi sebanyak 15 kali itu menghasilkan 11 gol dan satu bantuan jaringan.
BACA LAGI: [VIDEO] Coach dedah 'Messi Kampar' pernah sertai Anak Rimau, main bola sampai wakili Perak
BACA LAGI: Peka ancaman Selangor FC di MBPJ, Jordan Mintah dedah Kuching City layak ke semifinal Piala FA
Lucas Silva menjaringkan 11 gol untuk Penang FC sepanjang bersama kelab tersebut.
Impak yang ditinggalkan Silva nyata membuatkan penyokong Penang rindu akan aksinya di depan pintu gol lawan.
Baru-baru ini, menerusi perkongsian Penang Brotherhood, Silva mendedahkan yang dia rindu untuk menyarung jersi Penang dan berharap berpeluang untuk kembali.
Menariknya, Silva turut mendedahkan bahawa dia akan bercuti ke Pulau Pinang bersama keluarganya sekitar Ogos nanti.
Difahamkan, ketika itu pengurusan Penang boleh mengambil peluang dengan berbincang dengannya mengenai tawaran untuk membawa masuk Silva kembali ke pasukan memandangkan jendela perpindahan kedua turut dibuka pada Ogos.
Meskipun begitu, bukan sahaja Penang malah terdapat juga beberapa pasukan Utara dan Pantai Timur tanah air yang dikhabarkan mahu mendapatkan khidmat Silva.
Dalam pada itu, Majoriti menyenaraikan tiga pasukan yang dijangka menyambar Silva daripada cengkaman Harimau Kumbang.
Silva (dua kanan) memilih untuk bekerja dengan Fandi Ahmad di Sri Pahang FC. — Facebook
1) Perak FC
Perak FC antara kelab Liga M yang kini bermula garang dalam saingan Liga Super 2024.
Skuad kendalian Yusri Che Lah itu mengejutkan penyokong Sang Kenari selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC 2-0 dalam aksi ketiga saingan Liga Super pada 24 Mei lalu.
Menghuni tangga ke-11 liga, sudah pasti skuad The Bos Gaurus (TBG) itu mempunyai cita-cita besar untuk memperbaiki kedudukan dalam carta.
Dalam pada itu, Silva yang dikatakan akan ke Pulau Pinang Ogos nanti pastinya menarik perhatian Perak untuk berbincang secara terus dengan penyerang tersebut.
Jarak perjalanan yang dekat untuk ke Pulau Pinang pastinya tidak menyukarkan Perak FC untuk mengadakan perjumpaan bersama Silva nanti.
2) Kedah Darul Aman FC
Kedah Darul Aman (KDA) FC antara pasukan yang disebut-sebut turut mahu mendapatkan khidmat Silva.
Meskipun mempunyai penyerang import seperti Milos Gordic namun Sang Kenari hanya merekodkan dua gol selepas empat perlawanan Liga Super.
Jika melihat kepada prestasi semasa Milos ketika ini, ramai penyokong Jelapang Padi tidak berpuas hati dengan penyudah yang dilihat kurang tajam di hadapan pintu gawang lawan.
Dalam pada itu, ramai peminat Sang Kenari berharap agar Milos digantikan dengan pemain lain untuk menggalas tugas sebagai penyerang utama.
Dengan kehadiran Silva ke tanah air Ogos nanti, pastinya ia merupakan peluang yang sesuai untuk KDA FC berbincang untuk dibawa masuk menjelang jendela perpindahan kedua nanti.
3) Sri Pahang FC
Sri Pahang FC antara kelab yang pernah mendapatkan khidmat Silva pada musim 2023.
Begitupun, Silva mengambil keputusan meninggalkan Tok Gajah awal musim 2024 dengan menyertai kelab Hong Kong iaitu Tai Po.
Beraksi bersama Sri Pahang, penyerang import Brazil itu sudah tampil lapan perlawanan dan mencipta satu bantuan jaringan.
Meskipun tidak mencetak sebarang gol namun kualiti sebagai penyerang tulen amat ditagih oleh skuad kendalian Fandi Ahmad ketika ini.
Ia berikutan kerana selepas empat perlawanan Liga Super 2024, Sri Pahang hanya mencetak tiga gol.
Sudah tentu khidmat Silva amat ditagih untuk membantu jentera serangan Tok Gajah bagi memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram