[VIDEO] Hatrik Patrick Cruz di Larkin antara 3 kejutan sukar dilupakan di pentas suku akhir Piala FA


  • Podium
  • Sabtu, 29 Jun 2024

Patrick Cruz merupakan hanya beberapa pemain yang pernah melakar hatrik ke atas skuad Harimau Selatan. — Facebook/Pahang FA

SAINGAN Piala FA musim ini sudah menyajikan kejutan apabila kelab Liga Super, PDRM FC tersingkir kepada wakil Liga A1 Semi Pro, Malaysian University (MUFT) pada pusingan awal.

Kekalahan 0-3 dialami skuad Sang Saka Biru itu sudah pasti sukar diterima memandangkan pasukan kendalian P Maniam tersebut memiliki pemain berkualiti.

Tidak cukup dengan itu, MUFT yang dibarisi pemain universiti boleh dilabel sebagai 'underdog' sekiranya dibandingkan kepada PDRM FC dengan pengalaman bertahun-tahun dalam arena bola sepak tempatan.

BACA LAGI: Piala FA: Hilang 4 tonggak utama, Kim Swee masih ada pelan B

BACA LAGI: Akur sensitiviti waktu solat maghrib di Kedah, MFL kemas kini jadual Piala FA

448259274_1028800008985206_1783964393461902094_n

Skuad Sang Saka Biru mengalami kejutan ketika berdepan MUFT pertengahan Jun lalu. Facebook/PDRM FC

Bagaimanapun, kejutan berkenaan bukanlah perkara yang baharu dalam pertandingan itu kerana sepanjang penubuhannya, pelbagai momen sukar dilupakan pernah disaksikan.

Malah, di peringkat suku akhir sahaja, beberapa kejutan sudah disajikan, termasuk kebangkitan mengejut di samping kemunculan hero baharu untuk kelab masing-masing.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan tiga momen Piala FA di pusingan tersebut yang sudah terjadi bertahun-tahun dahulu, namun masih diingati sehingga hari ini.

1. Hatrik Patrick Cruz di Larkin (2018)

Selepas tersingkir Pahang pada musim sebelumnya, Johor Darul Ta'zim (JDT) bercita-cita besar pada 2018 untuk menjulang Piala FA buat kali kedua dalam sejarah kelab.

Bagaimanapun, ujian besar dihadapi skuad Harimau Selatan pada tahun tersebut selepas mereka sekali lagi berdepan kelab itu di pusingan suku akhir.

Perlawanan yang terikat di Stadium Darul Makmur, Pahang pada suku akhir pertama memberikan kepercayaan buat JDT untuk mara dengan kemenangan di laman sendiri.

Tetapi, kisah sebaliknya berlaku selepas skuad Tok Gajah mencipta kejutan dengan pemain import mereka, Patrick Cruz melakar hatrik di Stadium Larkin, Johor.

Dia yang amat dikenali dengan penyudah berkualiti dan kelincahan dalam membawa bola menggegarkan gawang JDT sebanyak tiga kali, termasuk satu jaringan solo dari tengah padang.

Kejayaan melepasi skuad Harimau Selatan itu jelas memberi suntikan semangat buat skuad Tok Gajah untuk menjulang Piala FA 2018 selepas menumpaskan Selangor FC di perlawanan akhir.

2. Selangor hampir dimalukan musuh tradisi (2018)

Setakat ini, Selangor FC merupakan pasukan paling berjaya dalam saingan Piala FA selepas menjuarainya sebanyak lima kali meskipun tewas dalam perlawanan akhir sebanyak tiga kali.

Bagaimanapun, sejak 2018, skuad Gergasi Merah tidak pernah melangkah ke pentas final selepas berkali-kali percubaan mereka disekat.

Tetapi, pada tahun berkenaan, kemaraan mereka ke pusingan akhir hampir terhenti di suku akhir setelah pasukan Lembah Klang itu hampir dikejutkan seteru utama, Kuala Lumpur (KL) FA.

Meskipun skuad Warga Kota kian dikenali hari ini, mereka yang tidak memiliki reputasi tersendiri pada waktu itu tidak begitu digeruni seperti hari ini.

Selepas menang pada perlawanan pertama dengan keputusan 3-0, Selangor FC tewas pada aksi timbal balik dengan keputusan sama dalam aksi di Stadium Cheras, KL.

Namun, penentuan sepakan penalti jelas berpihak kepada skuad Gergasi Merah dengan kemenangan itu menyuntik mereka semangat untuk terus ke pentas akhir.

Harapan untuk menjuarai pertandingan itu pada tahun berkenaan tidak terhasil selepas mereka tewas kepada Pahang FA, sekali gus meneruskan kemarau kejuaraan pasukan.

3. Kebangkitan Terengganu ke atas Perak (2011)

Saingan Piala FA 2011 sukar dilupakan penyokong Sang Penyu kerana kejohanan tersebut merupakan yang terakhir dijuarai kelab Pantai Timur berkenaan.

Lebih manis lagi, kejayaan itu dilakar di hadapan ribuan penyokong sendiri selepas Terengganu menumpaskan seteru Pantai Timur, Kelantan dengan kemenangan selepas masa tambahan.

Tetapi, pencapaian berkenaan hampir mustahil untuk diraih sekiranya skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim gagal mencipta kejutan ke atas Perak FA di pentas suku akhir.

su_07_1

Skuad TBG dan Sang Penyu dijadualkan bertemu di pusingan suku akhir Piala FA 2011.

Selepas tewas 1-2 pada perlawanan pertama, Terengganu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri dengan mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas lawan mereka itu.

Gol daripada Reeshafiq Alwi, Abdul Manaf Mamat dan Abdul Hadi Yahya dalam perlawanan itu memastikan agregat 5-4 berpihak kepada Terengganu sementara jaringan skuad The Bos Gaurus (TBG) dihasilkan menerusi Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

Kejayaan itu sudah tentu dirasai sehingga hari ini dengan skuad Sang Penyu masih mengimpikan peluang mengulangi kejayaan itu setelah berkali-kali melangkah ke perlawanan akhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram