HARAPAN besar diletakkan di bahu skuad antarabangsa Sepanyol yang kini sudah berada di pusingan separuh akhir dalam Kejohanan Euro 2024.
Mereka yang berada di kedudukan teratas Kumpulan B meneruskan kemaraan dengan menyingkirkan Georgia di peringkat 16 pasukan terbaik sebelum menundukkan tuan rumah, Jerman di suku akhir.
Jadi, motivasi pemain dan staf kejurulatihan sudah tentu memuncak dalam misi skuad La Roja untuk muncul juara dalam pertandingan itu buat kali keempat dalam sejarah mereka.
BACA LAGI: Mbappe akui kehilangan bekas bintang Man United punca jentera serangan Perancis tumpul di Euro 2024
BACA LAGI: [VIDEO] Bek Turkiye bantu Portugal raih tiket ke pusingan 16 Euro 2024
Sepanyol ke pusingan separuh akhir selepas menyingkirkan Jerman. — Agensi
Bagaimanapun, bagi kapten pasukan, Alvaro Morata, perasaan berkenaan tidak dikongsikannya apabila dia berasakan kehadirannya dalam skuad itu kurang dihargai orang ramai.
Dia yang beraksi dalam empat daripada lima perlawanan buat Sepanyol dalam Euro 2024 mendedahkan penyokong di negara tersebut tidak memberikan penghormatan secukupnya buat sesiapa.
"Ini mungkin menjadi kejohanan terakhir disertai saya. Ada kemungkinan kerana saya tidak mahu berkata lebih lanjut mengenainya.
"Saya sukar untuk berasa gembira di Sepanyol. Tidak boleh dinafikan bahawa saya lebih teruja beraksi di luar negara dengan saya sudah katakannya beberapa kali sebelum ini," tegas pemain itu, memetik laporan antarabangsa.
Morata berasakan layanan yang diberikan terhadapnya adalah tidak adil. — Agensi
Bekas penyerang Juventus dan Chelsea itu pernah menjadi sasaran ejekan penyokong dalam Kejohanan Euro 2020 serta ketika aksi persahabatan menentang Brazil pada Mac lalu.
Malah, ketika aksi suku akhir berdepan Jerman pada Jumaat lalu, Morata didapati menangis di bangku simpanan selepas dibawa keluar ketua jurulatih, Luis de la Fuente.
"Saya tidak menangis kerana dibawa keluar, tetapi kerana layanan yang diterima. Saya sebagai kapten sudah bawa negara ini ke separuh akhir.
"Saya tidak akan pernah mengkritik seseorang yang menangis disebabkan hal itu. Tetapi, saya dipersoalkan kerananya meskipun saya sanggup berkorban untuk menjuarai Euro kali ini," katanya.
Juara tiga kali Euro itu bakal berdepan Perancis di Allianz Arena, Jerman pada Selasa dengan pertembungan tersebut sudah tentu amat dinanti-nantikan penyokong kedua-dua pasukan.
Pemenang dalam perlawanan itu akan bertemu England atau Belanda yang akan beraksi di Westfalenstadion pada Rabu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram