Selangor FC upah peguam heret MFL ke mahkamah timbang tara


  • Podium
  • Sabtu, 06 Jul 2024

Selangor FC sebelum ini didenda oleh MFL berikutan tidak hadir ke Perlawanan Sumbangsih berdepan JDT. — Facebook/Selangorfc

SELANGOR FC sedang dalam proses membawa kes hukuman Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) ke peringkat mahkamah timbang tara sukan, kata Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi.

Menurut Najwan, skuad Gergasi Merah juga sudah mengupah peguam dan akan terus membuat rayuan untuk membawa ke peringkat lebih tinggi.

Terdahulu, wakil rakyat blok kerajaan dan pembangkang mengecam sekeras-kerasnya insiden yang berlaku kepada pemain bola sepak Selangor FC, Faisal Halim pada Mei lalu selain mendesak siasatan dijalankan secara menyeluruh.

BACA LAGI: MFL 'huru-hara' sibukkan diri urus banyak pertandingan

BACA LAGI: Natasha enggan terbuai gelaran juara dunia, rakan jadi pencabar utama di Thailand Open

WhatsApp Image 2024-07-06 at 14.29.04

Skuad Gergasi terpaksa menelan pahit apabila tewas 1-2 di tangan Kuching City dalam suku akhir pertama Piala FA 2024. — Facebook/Selangorfc

Kesemua wakil rakyat turut menyokong usul tergempar dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Abbas Azmi yang mengecam perbuatan ekstrem bersifat keganasan ke atas atlet sukan.

Usul tergempar di bawah Peraturan Tetap 17(1) itu diluluskan Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San selepas dibahaskan lima wakil rakyat.

MFL sebelum ini mengenakan empat bentuk hukuman terhadap Selangor FC selepas pasukan itu tidak hadir pada perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim di Johor pada 10 Mei lalu.

Hukuman awal diputuskan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL membabitkan denda RM100,000 dan bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah, JDT dan MFL.

Pasukan berkenaan turut dikenakan pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024/2025 dan perlawanan Liga Super menentang pasukan sama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya akan dimainkan tanpa penonton.

Bagaimanapun, Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat pusingan ‘U’ selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyuarakan kemurkaan baginda.

Berikutan itu, MFL mengurangkan denda daripada RM100,000 kepada RM60,000 manakala pemotongan tiga mata dalam pertandingan dan larangan kemasukan penonton turut dibatalkan.

Namun bayaran pampasan kerugian yang perlu dibayar kepada pasukan JDT dan MFL dikekalkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram