ERA Stadium Shah Alam (SSA) berakhir selepas kerja-kerja merobohkan gelanggang itu bermula pada 1 Julai lalu.
Sejak 1994, ia memberikan pelbagai memori indah baik buat penghuni utamanya iaitu Selangor FC, Harimau Malaya dan juga kelab-kelab yang meraih kejayaan apabila beraksi dalam perlawanan akhir di gelanggang itu.
Namun begitu, SSA juga menyimpan detik buruk buat beberapa kelab dan dengan pemergiannya stadium itu, ia akan melenyapkan sekali kisah duka tersebut.
BACA LAGI: Stadium Shah Alam mula dirobohkan, CEO MBI jamin gangguan minimum seperti bunyi, habuk dan trafik
Tiada piala buat Pahang
Sri Pahang FC ketika era lewat 1990-an merupakan antara teraju utama bola sepak Malaysia. Mereka yang dibanjiri oleh pemain-pemain handalan seperti Jalaluddin Jaafar, Azizul Kamaluddin dan Shahruddin Rosdi begitu menggerunkan pihak lawan.
Mereka berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia tempoh tiga tahun iaitu pada 1995 dan 1997. Namun begitu, rezeki mereka tiada ketika itu.
Dua kali berdepan Selangor di perlawanan akhir, dua kali juga mereka tumpas dengan cara yang menyakitkan. Kedua-dua kekalahan skuad Tok Gajah itu terhasil hasil menerusi gol emas pada masa tambahan.
Jaringan oleh David Mitchell pada 1995 dan Chris Kiwomya dua tahun kemudian mematahkan hati Tok Gajah ketika itu.
Penyokong Sri Pahang pastinya perit mengenangkan perkara tersebut kerana dua kekalahan mereka itu menyumbang kepada sejarah Selangor merangkul gelaran hatrik Piala Malaysia pada 1995, 1996 dan 1997.
Penyu sering menangis
Selain Sri Pahang, satu lagi kelab Pantai Timur yang sering terluka apabila ke SSA adalah Terengganu FC.
Dua kali memasuki perlawanan akhir yang diadakan di SSA iaitu pada 2011 dan 2018, Terengganu kempunan untuk meraih Piala Malaysia.
Edisi 2011 menyaksikan Terengganu menerusi Ashari Shamsudin hampir untuk memberikan piala buat mereka sebelum dua gol lewat Negeri Sembilan FC meranapkan segalanya.
Kesilapan mudah Sharbinee Allawee gagal menangkap kemas bola hantaran S. Kunanlan serta lipatan anak jati Terengganu, Hairuddin Omar memusnahkan impian Sang Penyu untuk menjadi juara.
Negeri Sembilan meranapkan impian Terengganu bergelar juara Piala Malaysia pada 2011.
Tujuh tahun kemudian, percubaan Terengganu untuk menjadi juara sekali lagi dipatahkan, kali ini oleh Perak FC.
Mendahului sebanyak dua kali tidak cukup untuk membolehkan Terengganu muncul juara apabila gol sendiri Igor Zonjic pada minit ke-120 memberikan 'nyawa' buat Perak.
Kecemerlangan Hafizul Hakim pada penentuan sepakan penalti menafikan Terengganu dengan peluang mereka meraih kejuaraan. Jelas sekali, SSA bukanlah gelanggang bertuah buat mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram