Jatuh hukum, beri 'diskaun' ikut titah, mana kredibiliti MFL?


  • Podium
  • Sabtu, 29 Jun 2024

Kepercayaan penyokong terhadap MFL semakin ketara akibat tindakan kurang kompeten mereka.

MUSIM ini belum lagi memasuki separuh perjalanannya, tetapi sudah pelbagai hal yang berlaku hinggakan status bola sepak negara kita menjadi tanda tanya.

Isu melibatkan Selangor FC dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berkaitan hukuman akibat kelab tersebut gagal hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih secara tak langsung melondehkan kepincangan kepimpinan badan penganjur liga itu.

Dari memberikan hukuman yang dianggap melampau serta begitu cepat melakukan pusingan-U. Di manakah kredibiliti MFL?

BACA LAGI: 'Liga badut, sarkas' mula penuhi wall peminat

BACA LAGI: Dari awal Liga M dilabel liga sarkas angkara 3 hukuman MFL bikin panas fans

Ketara MFL tidak kompeten

Isu yang berlaku ini hadirnya kerana MFL kelihatan tidak kompeten untuk mengendalikan sebuah permasalahan melibatkan ahli gabungannya.

Ia boleh dilihat daripada corak MFL dalam memberikan hukuman terhadap Selangor. Dengan empat hukuman iaitu pemotongan mata, denda, bayaran pampasan serta hukuman beraksi tanpa penyokong hanya kerana tidak datang ke perlawanan Piala Sumbangsih, ia menjelaskan niat MFL menghukum bukan kerana ingin mendidik tetapi ibarat melepaskan kemarahan yang amat dalam.

Tindakan Selangor ada asasnya, dengan jarak lima hari antara kejadian simbah asid Faisal Halim dengan perlawanan tersebut, wajar sekali Gergasi Merah risau dengan keselamatan mereka. Mereka bukan sengaja tidak mahu datang.

Malah, Selangor pada asalnya meminta agar aksi ditangguhkan. Ia memberikan gambaran yang Gergasi Merah masih mahu bermain tetapi cuma tunggu keaadan reda, tapi MFL memilih untuk tidak sensitf dan terus menghukum Selangor.

Seperti ditiup angin

Tahap kompeten MFL ternyata menjadi persoalan selepas bukan saja selepas hukuman diberikan kepada Selangor, tetapi apabila mereka memilih untuk meringankannya.

Selepas membatalkan pemotongan mata, mengurangkan nilai denda serta membenarkan penyokong hadir ke stadium, satu sisi tidak kompeten MFL terdedah.

Hal ini kerana, tindakan itu dibuat selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah yang baginda murka atas apa yang berlaku.

Belum sempat Selangor yang sedia untuk membuat rayuan berbuat demikian, MFL sudah pun meringankan beban hukuman. Ketika ini, persoalan timbul, adakah MFL bertindak hanya menerusi titah istana atau teguh menggunakan saluran yang ada?

Masa untuk telus

Sejak dari dulu, MFL tidak pernah sunyi daripada kontroversi terutamanya melibatkan hukuman. Sudah hampir sedekad dan mungkin lebih, penyokong meminta badan penganjur liga itu untuk lebih telus.

Permintaan penyokong adalah satu, MFL perlu secara terbuka berkongsi kepada pihak awam undang-undang dan peraturan pertandingan anjuran mereka.

Dengan ini, kepercayaan penyokong terhadap MFL akan meningkat kerana mereka mula bersifat terbuka sambil dapat mempelajari selok-belok peraturan pertandingan.

Dalam masa yang sama, MFL akan dilihat lebih kompeten kerana bertindak berdasarkan buku peraturan yang tersedia. Bukannya menghukum dengan hukuman yang dianggap sebagai melampau.

Episod drama antara MFL dan Selangor dijangka belum lagi berakhir. Seandainya Selangor ingin membawa isu ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) atau FIFA, akan ada plot twist lagi menanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram