SEJAK kebelakangan ini, pelbagai kritikan negatif yang dilemparkan oleh peminat tanah air kepada badan pengendali Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) susulan beberapa keputusan yang dijatuhkan terhadap Selangor FC.
Malah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut murka dan amat dukacita dengan keputusan ahli-ahli MFL serta FAM.
Disebabkan perkara itu, orang ramai menuntut agar berlakunya perubahan dalam MFL yang dilihat semakin huru-hara saban hari.
BACA LAGI: [VIDEO] Sabah restu Ramon minta tamat kontrak, mungkin selangkah ke Lembah Klang?
Seorang penyokong dalam Facebook, Zuraimi Zukri berkongsi pandangannya tentang punca utama MFL dilihat semakin tidak dapat menguruskan liga dengan sempurna.
Dia berpendapat MFL terlalu terbeban untuk menjaga kesemua kejohanan domestik bola sepak negara yang menyebabkan badan induk itu semakin hilang kawalan.
"MFL terlalu terbeban untuk menjaga banyak pertandingan seperti Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
"Kenapa mereka tidak serahkan dua pertandingan tersebut kepada FAM terutamanya Piala FA.
"Piala FA melibatkan divisyen bawah yang mana divisyen itu diuruskan oleh FAM melalui AFL.
"Dengan pertandingan utama yang kelihatan tidak terurus, MFL telah menyibukkan dirinya dengan satu pertandingan sia-sia, iaitu Piala MFL," katanya dalam Facebook.
Datuk Dr. Pekan Ramli.
Pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr. Pekan Ramli senada dengan cadangan yang dilontarkan Zuraimi itu dan turut mahu MFL lebih fokus kepada Liga Super.
"Saya rasa itu satu idea yang baik, sebab MFL itu sepatutnya lebih banyak memberikan tumpuan kepada kejohanan-kejohanan yang nampak ke arah komersial macam Liga Super.
"Mungkin kejohanan lain itu boleh diberikan oleh ahli-ahli bersekutu atau FAM jadi kurang sikit beban kepada MFL.
"Sebenarnya FAM nak liga diuruskan oleh sebuah badan yang lebih profesional itu sebabnya kita nampak liga itu diletakkan di bawah penyelesaian MFL.
"Apabila semua benda dibuat oleh MFL sudah pastinya kita tengok kos pengurusannya agak tinggi sedangkan nilai pulangannya tidak terlalu banyak," katanya kepada Majoriti.
Trofi Piala MFL.
Pekan turut bersetuju jika Piala MFL diselaraskan bawah FAM memandangkan kejohanan itu merupakan liga pembangunan bagi pemain-pemain muda dalam negara.
"Kalau kita tengok ini memang satu pandangan yang baik sebab kita tak nak bercampur aduk antara liga pembangunan dan liga komersial.
"Jika nak melihat aspek pembangunan ini sepatutnya memang secara langsung adalah tanggungjawab FAM.
"Kalau FAM mempunyai staf yang cukup untuk menjadikan liga pembangunan (Piala MFL) diletak secara langsung di bawah FAM pun satu idea yang sangat baik.
"Cumanya Piala MFL ini diletakkan di bawah MFL untuk memberikan pulangan kepada aspek penajaan bagi memperbanyakkan liga," jelasnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram