AKSI suku akhir pertama Piala FA derbi Utara antara Penang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC berakhir dengan skuad Sang Kenari berjaya membawa bekalan tipis apabila menang 0-1 di gelanggang lawan.
Dalam perlawanan di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang pada Jumaat, kedua-dua pasukan pada awalnya dilihat buntu merencanakan sebarang gerakan bagi menghadirkan peluang keemasan di hadapan pintu gol pada babak pertama.
Beberapa cubaan pemain untuk membuat hantaran kunci ke kubu lawan gagal untuk memberikan ancaman yang benar-benar berbahaya akibat.
BACA LAGI: Johor bukan rakan kongsi istimewa seperti Sabah dan Sarawak — Pakar Perlembagaan
Kedah hampir memecahkan kebuntuan dihadiahkan sepakan penalti pada minit akhir selepas pemain sayapnya, Sukhrob Nurullaev dijatuhkan pertahanan Penang FC, Rafael Vitor.
Namun, keputusan itu dibatalkan pengadil selepas dirujuk kepada video bantuan pengadil (VAR)
Ketua Jurulatih Kedah, Nafuzi Zain menurunkan kesebelasan utama yang agak kuat di bahagian hadapan dengan menampilkan gandingan empat pemain menyerang terdiri daripada kapten pasukan, Sonny Norde, Syafiq Ahmad, Ebenezer Assifuah dan Nurullaev.
Memasuki separuh masa kedua, Penang FC dilihat memulakan perlawanan dengan lebih bertenaga apabila menguji benteng pertahanan pasukan pelawat dengan sekurang-kurangnya tiga peluang keemasan di hadapan pada 10 minit pertama.
Bagaimanapun, penyokong tuan rumah dikecewakan ketumpulan penyudah penyerangnya, Nabil Lapti yan gagal menyempurnakan peluang terhidang meskipun tinggal berdepan satu sama satu dengan penjaga gol KDA FC, Kalamullah Al-Hafiz.
KDA FC kemudiannya berjaya memecah kebuntuan pada minit 72 menerusi pemain tengah gantiannya, Hasbullah Abu Bakar yang berjaya menyudahkan bola muntah daripada sepakan percuma diambil Sonny yang gagal ditangkap kemas Sikh Izhan.
Pasukan kendalian Nafuzi seterusnya berjaya menambah jaringan hasil tampanan Assifuah namun, gol tersebut dibatalkan selepas VAR mendapati pemain yang membuat hantaran lintang, Fadzrul Danel berada dalam kedudukan ofsaid.
Dalam pada itu, perlawanan turut dicemari dengan layangan kad merah terhadap pertahanan kanan Penang FC, Fairuz Zakaria selepas dia mengasari pemain lawan pada minit ke 88.
Keputusan tewas di laman sendiri menyaksikan penyokong skuad Pulau Mutiara melahirkan kritikan terhadap pemilihan Nabil untuk menerajui barisan hadapan pasukan.
"Berat betul Nabil. 1 by 1 pun tak gol. Striker cap ayam," tulis Mohd Nor Azwan Azami.
"Nabil bagi rehat sat. Shoot pun lemah dah. Bagi peluang untuk Alif Ikmalrizal," ujar Mohd Faiz.
"Hairan la, Akmal Rizal masih nak guna Nabil tu! Open chances pun tak boleh score," kata Iam Raf.
Perlawanan timbal balik suku akhir antara Penang FC dan KDA FC akan berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar Kedah pada Jumaat minggu depan (5 Julai). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram