Dari jauh tetap sokong, fans Kedah semangat beli tiket bantu kewangan kelab


  • Podium
  • Khamis, 04 Jul 2024

Penyokong Kedah tetap menzahirkan sokongan walaupun kelab diuji masalah kewangan. — Kedah Darul Aman FC

KEDAH Darul Aman FC berpeluang untuk ke separuh akhir Piala FA sekiranya berjaya menewaskan Penang FC pada perlawanan kedua yang diadakan Jumaat ini.

Kemenangan 1-0 yang diraih di tempat lawan pada aksi pertama menjadi sandaran skuad Nafuzi Zain untuk melangkah jauh dalam kejohanan itu sekali gus cuba meraih piala.

Mengharungi musim yang sukar akibat masalah kewangan, ia mendorong pemilik Kedah, Tan Sri Dr Daud Bakar untuk mengajak penyokong Sang Kenari memenuhkan stadium.

BACA LAGI: 'Aneh dan kebetulan', calon penaja utama Kedah hairan 'diserbu' Kastam, LHDN berturut-turut

BACA LAGI: Masalah gaji jangkiti Pahang, apa nasib bintang pinjaman dari JDT, Kedah?

Daud secara terbuka mengajak penyokong Kedah untuk memenuhkan Stadium Darul Aman, Alor Setar dengan melancarkan misi 25,000 penyokong membanjiri gelanggang.

"Misi ini adalah satu impian. Sudah lama Stadium Darul Aman tidak merasai suasana riuh dan meriah ini. Inilah masanya.

"Kehadiran seramai 15,000 adalah indah dan mempersonakan. Amazing. Kehadiran seramai 20,000 adalah luar biasa dan kejutan minda. Extraordinary. Kehadiran seramai 25,000 adalah DIRI ANDA sebenarnya. Really you," kata Daud.

Kata-kata Daud itu jelas menarik perhatian penyokong Kedah dan berjaya membakar semangat mereka untuk hadir ke stadium. Malah, ada juga yang setia menyokong kelab dari jauh.

Ada penyokong sanggup membeli tiket walaupun tahu tidak dapat hadir ke stadium semata untuk menyokong perjuangan Kedah.

"Walaupun saya tidak hadir saya akan beli tiket online dan bagi dekat kawan-kawan atau saudara mara yang ingin ke stadium. Apakan daya, saya duduk jauh. Saya hanya boleh berdoa dan beli tiket untuk bagi sumbangan kepada Kedah," kata penyokong bernama Shahrul Ishaq.

"Hanya doa kami dari anak perantau mengiringi Kedah," komen Azaharuddin Aziz.

"Masa untuk kita balas jasa pemilik Kedah yang bertungkus-lumus dalam memastikan Kedah kekal bersaing dalam liga. Selaku penyokong, mohon jalankan tanggungjawab masing-masing," ujar Zulkifli Daud.

Usaha sebegini sememangnya boleh mendapat pujian kerana tidak kira waktu senang atau susah, penyokong Kedah tetap bersama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram