Ada cara untuk Sabah bangkit, pengalaman Selangor boleh kecewakan Kuching City — Irfan Bakti


  • Podium
  • Jumaat, 05 Jul 2024

Irfan memilih Selangor dan Terengganu sebagai antara dua pasukan yang muncul sebagai semifinalis Piala FA musim ini.

BAHANG perlawanan timbal balik Piala FA di antara empat pasukan Liga Malaysia iaitu Sabah FC, Terengganu FC, Selangor FC dan Kuching City FC bakal menjadi tumpuan seluruh penyokong bola sepak pada Sabtu (6 Julai).

Sabah yang akan melayani kunjungan Terengganu mempunyai misi sukar untuk layak ke peringkat separuh akhir selepas ketinggalan 0-4 di bumi Darul Iman pada 28 Jun lalu.

Manakala Selangor pula dalam misi untuk membalas dendam selepas Kuching City menjadi pasukan pertama yang mencalarkan rekod kemenangan Gergasi Merah dengan keputusan 1-2 di Stadium Negeri Sarawak pada 29 Jun lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] Hanya cinta kontrak, 3 pemain TRW Kelantan pernah bikin penyokong jatuh hati waima sekejap

BACA LAGI: Penyokong sindir TFC pulang duit RM1.5 juta 'scammer' tapi penaja utama masih berdiam diri

Bekas pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berpandangan, sukar untuk Sabah bangkit dengan kemelut isu dalaman yang berlaku ketika ini bakal memberi kesan kepada Sang Badak.

"Leading 4-0 ini sangat besar, bagi saya Terengganu sudah sebelah kaki ke separuh akhir.

"Bagaimanapun, Terengganu kena pandai sebab main di rumah lawan ini banyak cara untuk mempertahankan empat jaringan itu.

"Sementara Sabah pula dengan keadaan isu dalaman dilihat sangat sukar buat mereka untuk layak ke pusingan separuh akhir," katanya kepada Majoriti.

Namun begitu, Irfan tidak menidakkan Sabah mampu bangkit jikalau anak-anak buah Sang Badak mampu menjaringkan gol awal dalam perlawanan itu.

"Pertamanya, 90 minit ini lama bagi Terengganu dan 90 minit ini pula cepat untuk Sabah.

"Jadi sudah tentu dalam separuh masa pertama sekiranya Sabah ingin bangkit dia kena jaringkan gol awal.

"Sekurang-kurangnya Sabah perlu jaringkan satu atau dua gol di awal permainan.

"Sebab kita pernah tengok pasukan-pasukan Eropah bangkit dari ketinggalan, tapi sukar jugalah untuk 'come back', seperti saya kata sebelum ini sebelah kaki Terengganu di separuh akhir," ujarnya.

Mengulas lanjut pertemuan Selangor dan Kuching City, Irfan mengharapkan The Cats mampu layak ke separuh akhir namun ia melihat misi sangat sukar buat anak buah Aidil Sharin Sahak jika turun dengan permainan bertahan.

"Perbezaan dengan satu gol itu tidak cukup untuk bertandang ke Selangor, meskipun saya mengharapkan Kuching City layak tapi saya rasa ia sukar.

"Selangor akan 'come back', kerana dua jaringan Gergasi Merah sebelum ini hanya kesilapan individu.

"Cara terbaik untuk Kuching adalah dengan menyerang, sukar untuk bertahan dengan satu jaringan.

"Dengan kemampuan dan pengalaman Selangor, ramai pemain nasional jadi ia tidak sukar untuk mereka kembali bangkit pada perlawanan esok (Sabtu).

"Nasihat saya kalau Kuching datang untuk bertahan ia akan menjadi perlawanan sukar untuk pelawat jika mahu layak," jelasnya.

Irfan turut memilih Selangor dan Terengganu sebagai pasukan yang akan layak ke peringkat separuh akhir Piala FA musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram