[VIDEO] Bagai dapat peluang kedua, karier 2 bekas pemain FC Vion kembali bernyawa musim ini


  • Podium
  • Jumaat, 05 Jul 2024

Wan Zack (kedua kiri) dan Fadhli Shas (kedua kanan) pernah beraksi di Liga Slovakia bersama FC Vion semasa bergelar pemain remaja.

APAKAH yang anda rasa jika diberikan peluang kedua untuk menunjukkan bukti bahawa anda seorang yang benar-benar mempunyai kualiti?

Pastinya kita berasa sangat gembira kerana mampu mencapai prestasi sebenar dalam kehidupan bahkan boleh merekodkan sesuatu yang lebih baik.

Jika anda seorang pemain bola sepak pastinya harapan ini yang anda mahukan apatah lagi selepas mengalami kecederaan serius ataupun penurunan prestasi.

BACA LAGI: [VIDEO] Hanya cinta kontrak, 3 pemain TRW Kelantan pernah bikin penyokong jatuh hati waima sekejap

BACA LAGI: [VIDEO] Legenda Kedah beri tabik terakhir buat Stadium Shah Alam, imbas semula zaman gemilang Sang Kenari di bumi Selangor

Tidak semua pemain mendapat peluang seperti tiga insan bertuah yang bagai diberikan nyawa kedua dalam karier bola sepak mereka.

Di sini Majoriti senaraikan tiga pemain tempatan kembali mendapat nyawa dalam karier bola mereka di Liga Super 2024/25:

1. Wan Zack Haikal

Pernah beraksi di Liga Jepun dan Slovakia, Wan Zack Haikal boleh diibaratkan menemui sentuhannya semula musim ini bersama Perak FC.

Siapa tidak kenal dengan pemain kelahiran Pahang ini yang menjadi wira buat Harimau Muda semasa era kemuncaknya di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Pemain berusia 33 tahun itu mengalami pelbagai kecederaan lutut yang menyebabkan aksinya dalam kancah Liga Super terencat ekoran masalah dialaminya.

Sejak menyertai Perak pada 2022, Wan Zack tampil dalam 25 perlawanan yang mana ia merupakan antara aksi terbanyak pernah dicatatkan oleh bekas graduan Harimau Muda A itu selepas pulih daripada kecederaan.

2. Mohammad Fadhli Shas

Musim lalu, nama pemain Sri Pahang, Mohammad Fadhli Shas menjadi sebutan penyokong bola sepak selepas sudah sekian lama dia tidak beraksi secara kompetitif dalam Liga Malaysia.

Pernah menyertai FC Vion, Fadhli mendapat peluang menunjukkan kualitinya bersama Sri Pahang musim lalu selepas banyak menghabiskan masa di bangku simpanan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Pemain pertahanan tengah itu tidak menunggu masa yang lama untuk membuktikan bahawa dia mempunyai kualiti tersendiri apabila menjadi pilihan utama di benteng terakhir Tok Gajah.

Fadhli juga diletakkan dalam senarai bersedia oleh Kim Pan-gon di skuad Harimau Malaya selepas sekian lama dia tidak menyarung jersi skuad kebangsaan.

3. Abdul Halim Saari

Pernah mendapat gelaran Toni Kroos Malaysia, Abdul Halim Saari antara tunjang utama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) semasa zaman kegemilangan Sang Kenari pada 2016 hingga 2018.

Dalam ketenangannya mengawal bola di bahagian tengah menarik minat Selangor FC untuk membawanya ke Lembah Klang pada 2019.

Namun semuanya tidak menjadi buat Halim selepas kerap mengalami kecederaan yang memaksa dia berehat lama daripada dunia bola sepak.

Musim lalu, Halim berhijrah ke Kedah untuk kembali menemui sentuhannya yang sudah lama hilang dan pilihannya itu dianggap tepat.

Ini kerana Halim sudah mula turun dalam kesebelasan utama Sang Kenari musim ini di bawah kendalian Nafuzi Zain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram