Penyokong sindir TFC pulang duit RM1.5 juta 'scammer' tapi penaja utama masih berdiam diri


  • Podium
  • Isnin, 01 Jul 2024

Penaja utama TFC musim ini didakwa masih belum melunaskan duit tajaan kepada pihak pengurusan meskipun nama syarikat sudah terpampang di hadapan jersi Sang Penyu. — Facebook/TFC

KHABAR angin kurang enak sedang berlegar dalam kem pasukan Terengganu FC (TFC) selepas segelintir penyokong mendakwa pihak penaja utama Sang Penyu masih belum melunaskan bayaran tajaan bagi musim 2024/25.

Dakwaan itu turut sedang bermain dalam media sosial dengan beberapa laman Facebook penyokong Terengganu tidak mahu isu terbabit berlanjutan sehingga memberi kesan kepada status kewangan pasukan.

Jika benar penaja masih belum melunaskan pembayaran duit tajaan ia pastinya akan mengganggu momentum Sang Penyu yang cemerlang menewaskan Sabah FC menerusi keputusan empat jaringan tanpa balas dalam perlawanan Piala FA di Stadium Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada Jumaat lalu (28 Jun).

BACA LAGI: CEO Selangor jawab sebab Gergasi Merah tiada stadium, tak agresif berdialog terbuka

BACA LAGI: [VIDEO] Berang lawan dapat penalti, pemain amatur tampar muka pengadil lepas kena kad kuning

Malah dalam kalendar Liga Super, TFC masih belum tewas apabila merekodkan dua kemenangan dan dua seri sepanjang empat perlawanan terakhir sekali gus meletakkan mereka di tangga ketiga liga.

Anak-anak buah Tomislav Steinbruckner pastinya tidak mahu isu yang sedang bermain di media sosial itu mengganggu fikiran mereka bagi meneruskan momentum terbaik untuk mencabar kejuaraan kejohanan domestik.

Malah laman Facebook Ultras Tranung juga menyuarakan pandangan mereka berkenaan dakwaan penaja tidak melunaskan pembayaran tajaan kepada pasukan.

"Tipu?"

"Duit penajaan macam mana? Ini betul-betul nak 'marketing percuma dan 'maki' percuma ini. Nama nak duduk depan.

"Kalau gaji pemain sangkut, awak siap sedia! Awak tak kenal lagi kegilaan penyokong Tranung."

Manakala laman Facebook, Info Bolasepak Tranung pula mendakwa penaja utama TFC musim ini memiliki persamaan yang sama dengan syarikat tahun lepas.

"Kobert, Colever, Agarbomb apa persamaan mereka? Salah siapa? Taja berjuta-juta tapi tak tengok 'background company'.

"Pengerusi Terengganu FC perlu berhati-hati, Vearich ini ambil penaja platinum RM3 juta tapi tak bayar lagi."

Dalam pada itu, ada juga yang menyindir penyokong lain selepas mendesak pihak pengurusan TFC membatalkan perjanjian dengan sebuah syarikat pelaburan yang sudah melunaskan duit penajaan sebanyak RM1.5 juta.

"Yang bayar baru ini kamu kata 'scammer', yang tak bayar lagi ini pergi sanjung," kata Kapal Perang.

"Hanya 'scammer' yang mampu taja juta-juta, dan hanya 'scammer' jugalah yang menjanjikan pulangan berjuta-juta, tiada beza," jelas Nui'e San.

"Siap sedia kalau sampai gaji pemain sangkut, gaji pemain sangkut, pemain pun main tak ada 'mood', lepas itu kalah, siap sedia kejadian 2015 mungkin berlaku lagi," luah Syahmi Aiman.

Majoriti sudah menghubungi pihak pengurusan TFC tetapi masih belum mendapat sebarang maklum balas tentang dakwaan duit penajaan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram