[VIDEO] Legenda Kedah beri tabik terakhir buat Stadium Shah Alam, imbas semula zaman gemilang Sang Kenari di bumi Selangor


  • Podium
  • Khamis, 04 Jul 2024

Kedah menjuarai Piala FA selepas menewaskan Sri Pahang dengan keputusan 3-2 di Stadium Shah Alam pada 2017.

AKHIRNYA penantian seluruh rakyat Selangor menjadi kenyataan selepas kerajaan negeri sudah memulakan kerja-kerja meroboh Stadium Shah Alam, Selangor pada Isnin lalu (1 Julai).

Kerja-kerja meroboh Stadium Shah Alam telah bermula selepas syarikat pemaju mendapat permit kelulusan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Ia menandakan bermulanya kerja-kerja membangunkan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang bakal memiliki pelbagai kemudahan termasuk sebuah hotel.

BACA LAGI: [VIDEO] Hanya cinta kontrak, 3 pemain TRW Kelantan pernah bikin penyokong jatuh hati waima sekejap

BACA LAGI: Fans tak sabar, juara Liga Indonesia tagih sentuhan coach Malaysia

Ia sekali gus bakal menanam segala memori seluruh rakyat Malaysia yang pernah hadir menyaksikan pelbagai acara di stadium kedua terbesar negara itu.

Apatah lagi buat atlet yang pernah mengharumkan nama negara dan kelab apabila kejohanan penting selalu diadakan di Stadium Shah Alam selepas Stadium Nasional Bukit Jalil ditutup kerana kerja-kerja renovasi.

Legenda Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Khairul Helmi Johari turut tidak melepaskan peluang untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Stadium Shah Alam.

Tabik terakhir Khairul atau lebih dikenali sebagai Keon dalam kalangan penyokong bola sepak dikongsikan dalam media sosial miliknya dengan memuat naik beberapa gambar.

Antara gambar yang dimuat naik oleh Keon ialah ketika Sang Kenari menjulang trofi Piala FA selepas menewaskan Sri Pahang FC dengan keputusan 3-2 pada 2017.

Tiga jaringan Kedah dihasilkan oleh bekas pemain import, Ken Ilso dan dua gol menerusi Baddrol Bakhtiar.

Selain itu, Kedah juga pernah menjulang trofi Piala Malaysia edisi 2016 selepas menewaskan tuan rumah, Selangor di gelanggang keramat Gergasi Merah menerusi kemenangan sepakan penalti 6-5 selepas terikat 1-1 sepanjang 120 minit perlawanan.

Keon beraksi di dalam kedua-dua perlawanan akhir yang menyaksikan Kedah membawa pulang trofi pertandingan ke bumi Darul Aman.

Mungkin ia antara kenangan terindah buat pemain berusia 36 tahun sepanjang berbakti buat pasukan negeri kelahirannya sendiri.

Kini pemain pertahanan tengah itu bergelar ejen bebas selepas kali terakhir mewakili TRW Kelantan FC pada musim lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram