Temani Jordi Amat di JDT antara 3 pilihan terbaik Marselino Ferdinan jika mahu ke Liga M


  • Podium
  • Khamis, 04 Jul 2024

Bintang muda Indonesia itu memiliki pengalaman cukup luas di peringkat kelab dan antarabangsa meskipun baru sahaja berusia 19 tahun. — Agensi

KEHADIRAN seorang import dari Indonesia dalam arena bola sepak tanah air bukanlah satu perkara baharu kerana pemain dari negara tersebut sudah mewarnai Liga Malaysia bertahun-tahun lamanya.

Selangor FC merupakan antara destinasi pilihan buat pemain skuad Garuda dengan Bambang Pamungkas, Elie Aiboy dan Andik Vermansah adalah sebahagian contoh amat dikenali.

Malah, musim ini, beberapa bintang dari Indonesia turut beraksi dalam saingan Liga Super seperti Jordi Amat di Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Saddil Ramdani di Sabah FC.

BACA LAGI: Media Indonesia lapor Kelantan minat sambar Marselino Ferdinan

BACA LAGI: Selain Irfan Fandi, ada 2 lagi bintang Sang Garuda dalam radar kelab Liga Super

timnas-jepang-vs-timnas-indonesia-di-piala-asia-39_169

Skuad Garuda memiliki lambakan pemain yang berkualiti untuk diimport ke Liga Super.

Bagaimanapun, terdapat kemungkinan jumlah itu akan bertambah selepas seorang pemain dari negara tersebut baru sahaja meninggalkan kelabnya baru-baru ini.

'Ubi muda' berusia 19 tahun, Marselino Ferdinan pada Rabu dikhabarkan sudah dilepaskan kelabnya, KMSK Dienze yang bersaing di divisyen kedua Belgium musim ini.

Pemain sayap itu sememangnya tidak perlu diperkenalkan memandangkan bakatnya sudah terserlah selepas 26 kali mewakili skuad Garuda, termasuk dalam saingan Piala Asia 2023.

Jadi, dengan Ferdinan terbuka untuk menyertai mana-mana kelab, terdapat tiga pasukan Liga Super yang boleh dianggap destinasi terbaik buatnya.

1. JDT

Seperti dinyatakan di atas, JDT merupakan salah sebuah kelab tempatan yang menggunakan khidmat import dari Indonesia, Jordi Amat meskipun bek tengah itu adalah pemain naturalisasi Indonesia.

Bagaimanapun, hubungannya bersama rakan sepasukan setiap kali menyarung jersi Garuda di peringkat antarabangsa tidak boleh dipertikaikan kerana dia berkebolehan untuk berhubung dengan mudah.

Oleh itu, sekiranya skuad Harimau Selatan bercita-cita besar untuk mendapatkan penyerang itu, kehadiran Jordi Amat boleh dikatakan sebagai salah satu tarikan terbaik.

2708062

Jordi Amat boleh menjadi tarikan buat Ferdinan menyertai skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Meskipun sudah memiliki lambakan pilihan di posisinya, usia Ferdinan yang masih setahun jagung merupakan perancangan jangka masa panjang buat kelab.

Sekiranya diberikan pendedahan kepada import berkualiti seperti Fernando Forestieri dan Francisco Geraldes, bintang skuad Garuda itu pasti akan menjadi semakin bersinar.

Bagaimanapun, pengalaman lalu menyaksikan skuad Harimau Selatan seakan-akan sukar memberikan kepercayaan terhadap pemain dari negara itu dengan Syahiran Abimanyu merupakan salah seorang import mengecewakan dalam sejarah JDT.

2. Selangor FC

Umum mengetahui bahawa skuad Gergasi Merah merupakan destinasi kegemaran buat pemain Indonesia yang tertarik untuk mencuba nasib dalam Liga Super.

Bagaimanapun, beberapa tahun kebelakangan ini, kelab Lembah Klang itu seperti kurang tertarik dengan import dari negara tersebut kerana musim 2018 merupakan tahun terakhir Selangor FC memiliki pemain Garuda.

Jadi, sekiranya mereka mahu menamatkan penantian itu, Ferdinan merupakan calon terbaik berdasarkan pengalaman dan bakat dimilikinya setakat ini.

Evan-Dimas

Evan Dimas memiliki musim yang memberangsangkan buat Selangor FC.

Kemasukannya boleh menyaksikan jentera serangan skuad Gergasi Merah semakin baik meskipun mereka sudah memiliki pilihan di posisi sayap.

Gandingannya bersama Alvin Fortes, Reziq Bani Hani dan Faisal Halim akan memberikan dimensi serangan lebih menarik buat pasukan bimbingan Nidzam Jamil musim ini.

Tetapi, dengan Ferdinan pernah beraksi di luar negara, mampukah Selangor FC menampung permintaan gajinya yang dikhuatiri akan melebihi pemain lain.

3. Terengganu FC

Sebelum ini, terdapat khabar angin mengatakan Kelantan Darul Naim (KDN) FC merupakan salah sebuah pasukan yang berminat untuk mendapatkan penyerang sayap tersebut.

Bagaimanapun, dengan skuad Kijang Emas masih belum menapak sepenuhnya dalam Liga Super, mereka sudah tentu sukar untuk mendapatkan penyerang sayap muda berkenaan.

Tetapi, terdapat sebuah lagi kelab berpangkalan di Pantai Timur yang boleh dianggap sesuai untuk membawa masuk Ferdinan pada jendela perpindahan akan datang.

2776153

Ferdinan boleh menggantikan Akhyar (kiri) atau Safawi dalam skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Kelab berkenaan ialah Terengganu FC yang mempunyai rekod cukup baik beberapa tahun kebelakangan ini seperti berjaya merebut slot ke pentas Asia pada 2023.

Kualiti dimiliki Ferdinan sudah tentu akan membolehkannya menepikan persaingan daripada Safawi Rasid atau Akhyar Rashid sebagai pemain sayap utama.

Namun, masalah pengurusan yang timbul musim ini sekali gus menyukarkan hasrat skuad Sang Penyu untuk menyaksikan kelibat Ferdinan, lebih-lebih lagi sekiranya isu tersebut tidak diselesaikan segera. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram