Legenda HM pernah cadang Arif Aiman ke Timur Tengah lepas lakar hatrik berdepan Selangor


  • Podium
  • Selasa, 02 Jul 2024

Kejayaan Arif Aiman melakar hatrik ketika berdepan Selangor FC masih kekal dalam ingatan sehingga hari ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

KEUNGGULAN Arif Aiman Hanapi tidak perlu diperkatakan lagi selepas pemain muda kebangsaan tersebut terus memecahkan rekod demi rekod dalam arena bola sepak negara.

Tiga gelaran Anugerah Pemain Paling Berharga (MVP) berturut-turut bermula 2021 sudah cukup untuk menceritakan bakat dimiliki bintang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.

Selain itu, kebolehan tonggak Harimau Malaya berkenaan untuk bersinar dalam perlawanan penting merupakan salah satu aspek utama yang menceritakan kualitinya.

BACA LAGI: Fans desak JDT turunkan permata attacking Malaysia, imbau memori indah lawan Costa City

BACA LAGI: Nidzam mahu anak buah fokus, JDT tetap tenang

WhatsApp-Image-2024-03-25-at-23.42.21_9bc17117

Arif Aiman sudah merangkul tiga gelaran MVP setakat ini.

Salah satu aksi yang menyaksikan kebolehan Arif Aiman adalah ketika saingan Piala FA 2023 antara skuad Harimau Selatan dan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 25 Jun tahun tersebut.

Manakan tidak, dia yang diletakkan dalam kesebelasan utama memberikan persembahan lima bintang selepas melakar hatrik pada separuh masa pertama.

Perlawanan itu turut menyaksikan pemain berusia 22 tahun itu pantas meninggalkan bek kanan lawan, Quentin Cheng untuk gol ketiga yang sekali gus meletakkan JDT di pentas akhir.

Sumbangan daripada penyerang sayap lincah tersebut sekali gus menyaksikan skuad kendalian Esteban Solari itu mara ke pusingan akhir Piala FA buat tahun kedua berturut-turut dengan kemenangan 4-0.

Pujian terus diberikan terhadap Arif selepas perlawanan berkenaan dengan penyokong berasakan tahap penyerang sayap tersebut sudah cukup untuk membolehkannya bersinar di luar negara.

Ini termasuk legenda bola sepak negara, Safee Sali yang mencadangkan agar pemain kelahiran Kuantan, Pahang tersebut mencuba nasib di Timur Tengah.

2391436

Safee Sali merupakan salah seorang pemain lokal yang pernah ke luar negara.

Cadangan itu boleh dikatakan cukup sesuai untuk diberikan bekas penyerang Harimau Malaya itu yang pernah mengembangkan sayap kariernya di Indonesia bersama Pelita Jaya.

Meskipun tahap kompetetif liga tersebut tidaklah terlalu ketara sekiranya dibandingkan dengan Liga Super, keputusannya masih boleh dianggap sesuatu yang berani kerana Safee merupakan pemain lokal pertama berbuat demikian.

Bagaimanapun, bekas penyerang JDT terbabit enggan mendesak Arif untuk beraksi di luar negara dan meninggalkan skuad Harimau Selatan memandangkan pemain muda itu masih perlu meningkatkan kebolehannya bersama JDT.

Setakat ini, terdapat beberapa khabar angin mengatakan bintang Harimau Malaya berkenaan menarik minat kelab sekitar Asia, termasuk di Korea Selatan dan Jepun.

Namun, dia masih memilih untuk kekal dan membantu JDT musim ini dengan satu gol Piala FA berjaya direkodkannya meskipun mengalami kecederaan pada awal musim 2024/25. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram