CABARAN Portugal dalam kejohanan Euro 2024 terus menyala selepas mereka berjaya menewaskan Slovenia menerusi penentuan sepakan penalti di pusingan 16 pasukan terbaik pada Selasa.
Tumpuan pastinya terarah kepada bintang mereka, Cristiano Ronaldo namun bukanlah kerana faktor positif. Sebaliknya, ia tertumpu kepada tangisan pemain tersebut selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti.
Kegagalan Ronaldo menyempurnakan tendangan pada masa tambahan itu menjadi punca perlawanan antara dua negara tersebut diheret ke penentuan sepakan penalti.
Mujur untuknya, dia berjaya menebus kegagalan menyempurnakan penalti pada waktu 90 minit apabila menjaringkan gol buat Portugal dalam aksi penuh dramatik itu.
BACA LAGI: [VIDEO] Air mata Ronaldo, Portugal masih ‘bernyawa’ di pentas Euro terakhir
BACA LAGI: Jadi tumpuan Euro 2024, penyerang Hungary tandingan Syihan kini tinggalkan kelab Korea
Akan tetapi, tangisan Ronaldo itu menjadi kritikan legenda Belanda, Ruud Gullit, yang tidak gemar melihat tindakan pemain tersebut.
Menurut Gullit, tindakan Ronaldo itu tidak lebih daripada sekadar inginkan perhatian sambil menjelaskan pemain itu tidak kompeten untuk Portugal.
Pemenang Euro 1988 itu mengatakan yang ada pemain lain lebih bagus daripada Ronaldo untuk mengambil tugasan sepakan percuma dan penalti dalam skuad Portugal.
"Ronaldo cuba untuk mengambil setiap sepakan percuma buat Portugal walaupun dia cuma menjaringkan satu daripada 60 percubaan.
"Dalam skuad Portugal, ada pemain lain yang rembatannya lebih baik berbanding Ronaldo, tapi dia tetap mahu berada dalam perhatian seperti biasa. Secara jujurnya, saya tak suka apa yang berlaku dalam perlawanan tersebut.
"Dia membazirkan segala sepakan percuma dan gagal menjaringkan sepakan penalti, lepas itu dia menangis. Saya lihat itu sebagai 'air mata buaya' (berpura-pura sedih). Apa yang dilakukan oleh Ronaldo itu tidak boleh diterima," kata Gullit.
Kritikan pedas diberikan Gullit itu boleh dipadamkan oleh Ronaldo apabila Portugal bertemu Perancis pada suku akhir. Namun begitu, pastinya tugas sukar buat mereka kerana ia adalah satu perlawanan seimbang melibatkan dua pasukan hebat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram