PEMAIN Selangor FC, Muhammad Abu Khalil dilihat semakin hampir untuk mendapatkan kontrak di luar negara selepas berjaya menambat hari pengurusan kelab Jepun, FC Osaka.
Abu yang dijemput untuk ke sesi percubaan bersama kelab J3 League tersebut dilaporkan bakal ditawarkan kontrak selepas persembahannya sebagai pemain tengah menarik perhatian.
Jika benar kontrak ditawarkan kepadanya, Abu bakal meneruskan legasi pemain-pemain Malaysia terdahulu yang pernah berkelana di negara Matahari Terbit itu.
BACA LAGI: Berjaya curi tumpuan, ‘ubi’ Selangor bakal sertai kelab Jepun
BACA LAGI: 'Ubi' muda Selangor bawa misi 'bersihkan' nama 3 pemain berkelana di Jepun
Nama-nama seperti Wan Zack Haikal, Nazirul Naim dan Hadi Fayyadh pernah berkelana di Jepun bersama-sama kelab seperti FC Ryukyu dan Fagiano Okayama.
Malah, saingan J3 League ketika ini mempunyai seorang pemain negara iaitu Luqman Hakim Shamsudin yang beraksi bersama YSSC Yokohama.
Melihat kepada prospek untuk Abu beraksi di sana, timbul persoalan, mampukah dia berjaya dan bagaimana untuk meraih kejayaan di sana?
Menurut pemerhati bola sepak tempatan, Sadek Mustaffa, Abu mempunyai peluang seluasnya untuk berjaya tetapi semua itu perlu bermula dengan diri sendiri.
Menurut Sadek, perkara pertama yang perlu Abu kuasai adalah bahasa Jepun kerana itu adalah medium terbaik untuk menyesuaikan dirinya dengan negara itu.
Abu Khalil merupakan kapten pasukan skuad muda Selangor.
"Semua bergantung kepada keazaman diri untuk jadi pemain yang lebih baik daripada yang ada di Malaysia. Kesungguhan itu perlu hadir dengan displin diri, cepat menguasai bahasa Jepun, budaya kerja bola sepak dan penguasaan taktikal dan teknikal bola sepak Jepun.
"Kalau tak kuasai bahasa Jepun dengan cepat, dia tak boleh bertahan lama kerana itu adalah medium kepada perubahan tingkah laku dan aspek-aspek lain," kata Sadek kepada Majoriti.
Sadek juga berpendapat yang Abu harus segera menguasai kepantasan bola sepak Jepun supaya ia dapat membantunya memperoleh minit permainan.
Malah, Abu juga disaran melakukan analisis SWOT (strength, weakness, oppurtunity, threat) untuk membantu perkembangan dirinya sebagai pemain.
"Abu mesti menguasai teknikal, kemahiran bermain secara berpasukan dan work-rate pasukan dengan pantas untuk dapatkan minit permainan dengan kelabnya.
"Dia juga perlu melakukan analisis SWOT bagi semua pasukan yang berada dalam liga untuk memahami segala aspek setiap pasukan sama ada dari segi pemain-pemainnya, game plan serta perubahan tektikal. Serta, dia perlu menonjolkan kesungguhan yang tinggi dalam setiap pertarungan di tempat lawan," jelas Sadek. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram