Stadium Shah Alam mula dirobohkan, CEO MBI jamin gangguan minimum seperti bunyi, habuk dan trafik


  • Podium
  • Selasa, 02 Jul 2024

Kerja perobohan Stadium Shah Alam sudah dimulakan sejak 1 Julai.

SELEPAS lama menanti, akhirnya gerak kerja perobohan Stadium Shah Alam (SSA) sudah bermula sejak 1 Julai.

Menurut perkongsian yang dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI), Saipolyazan M Yusop di Facebook, dia memberikan jaminan yang usaha tersebut tidak akan menganggu kawasan sekitar.

"ALHAMDULILLAH. Sempat singgah ke Stadium Shah Alam untuk melihat kerja perobohan dimulakan pada hari ini (Isnin) 1 Julai 2024.

"Saya mengarahkan pasukan projek dan kontraktor memastikan parameters pemantauan seperti bunyi, habuk, air, trafik dan lain-lain sentiasa dipantau bagi memastikan minimum gangguan kepada penduduk sekitar," kata Saipolyazan.

BACA LAGI: CEO Selangor jawab sebab Gergasi Merah tiada stadium, tak agresif berdialog terbuka

BACA LAGI: Lupakan SSA, Selangor FC boleh ikut cara kelab Sepanyol naik taraf stadium MBPJ

Usaha perobohan stadium tersebut dikatakan bakal memakan masa selama setahun ekoran ia tidak boleh dilakukan secara terburu-buru kerana boleh mengganggu kehidupan masyarakat sekitar.

Namun begitu, mereka tetap mengusahakan untuk menggunakan cara lebih pantas dalam merobohkan stadium tersebut.

Perobohan SSA akan membuka jalan kepada pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang meliputi gelanggang baharu Selangor FC serta kawasan rekreasi bagi orang awam.

Stadium baharu itu dijangka dibina dengan berkapasiti 30,000 hingga 40,000 tempat duduk berbanding SSA yang mampu menampung 80,000 penonton dalam satu-satu masa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram