DUNIA badminton antarabangsa dikejutkan dengan pemergian pemain muda China, Zhang Zhi Jie di Kejohanan Badminton Remaja Asia baru-baru ini.
Pemergian pemain muda berusia 17 tahun itu dilaporkan akibat serangan (cardiac arrest) ketika perlawanan sedang dilangsungkan.
Sebelum ini, kita sering terdengar terdapat insiden serupa melibatkan atlet sukan yang lebih berusia. Tetapi, untuk atlet semuda Zhi Jie, ia dianggap luar biasa.
BACA LAGI: [VIDEO] Pemain badminton China rebah, meninggal dunia ketika tunggu servis lawan
BACA LAGI: Semua kakitangan perlu bersedia beri bantuan perubatan secepat mungkin — BWF
Prof Dr Raja Mohammed Firhad Raja Azidin
Bagi Dekan Fakulti Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Prof Dr Raja Mohammed Firhad Raja Azidin, peningkatan kes cardiac arrest dalam kalangan atlet muda secara amnya merisaukan.
Menurut Raja Mohammed Firhad, peningkatan penglibatan atlet dalam acara sukan menjadi salah satu sebab kenapa ia boleh terjadi.
"Sudah pasti (ia merisaukan). Peningkatan kes cardiac arrest dikalangan atlet muda telah meningkat disebabkan oleh peningkatan jumlah penglibatan sukan dalam kalangan atlet muda serta peningkatan tahap keperluan kecegasan sukan yang lebih tinggi adalah salah satu faktor kenapa ia berlaku," katanya kepada Majoriti.
Kata Raja Mohammed Firhad, satu-satu atlet itu akan mengalami cardiac arrest seandainya mengalami perubahan abnormal pada kapasiti jantung kesan daripada latihan dijalani.
Oleh itu, dia menyarankan atlet melakukan ujian kesihatan yang rapi bagi mengesan sama ada mereka berisiko untuk memperoleh masalah tersebut atau tidak.
"Keperluan untuk melaksanakan ujian kesihatan secara berkala berkaitan kapasiti jantung adalah sangat penting bagi atlet berprestasi tinggi.
"Ia boleh dilaksanakan melalui ujian lanjutan echocardiography atau ujian electrocardiography (ECG) menggunakan larian treadmill atau berbasikal," jelasnya.
Pemain Denmark, Christian Eriksen (jersi #10) mengalami cardiac arrest ketika Euro 2020. — Agensi
Selain itu, Raja Mohammed Firhad mengatakan atlet perlu merancang latihan dengan baik supaya ia tidak melebihi kapasiti yang mampu ditampung oleh jantung mereka.
Proses pemulihan juga penting untuk membantu atlet menurunkan risiko terkena cardiac arrest sewaktu mereka beraksi.
"Selain itu, atlet perlu menjalankan latihan yang lebih berstruktur bagi mengawalselia beban latihan agar tidak melebihi kapasiti yg dirancang.
"Proses pemulihan yang efektif juga melalui jadual tidur yang baik, pelan pemakanan yang ideal serta sesi latihan pemulihan yang berkesan akan membantu atlet untuk memperoleh adaptasi yang lebih positif," ujar Raja Mohammed Firhad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram