PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kesediaan Malaysia untuk menjalin kerjasama dengan Indonesia bagi menghantar pasukan pengaman ke Palestin sekiranya diberi mandat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PPB).
Itu merupakan antara inti pati perbincangan melalui perbualan telefon antara beliau dan Presiden Terpilih Indonesia merangkap Menteri Pertahanan Prabowo Subianto pada Isnin.
Anwar berkata, beliau menyambut baik gagasan kerjasama dalam misi pengaman antarabangsa Malaysia-Indonesia dan kolaborasi yang boleh diperluas di peringkat rantau ASEAN.
BACA LAGI: Sijil ISO, siap Ketua Menteri mohon maaf, 3 isu hangatkan kempen PRK Sungai Bakap
BACA LAGI: Johor bukan rakan kongsi istimewa seperti Sabah dan Sarawak — Pakar Perlembagaan
"Dalam perbualan kira-kira tiga minit itu, kami juga sempat bertukar pandangan mengenai isu semasa, khususnya peranan Prabowo dalam mewakili Indonesia ke persada antarabangsa akhir-akhir ini dan membawa visi, kolaborasi serta keamanan serantau dan sejagat.
"Menyentuh situasi kemanusiaan di Palestin, saya maklumkan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama termasuk dalam aspek penugasan pasukan pengaman bersama Indonesia sekiranya diberi mandat oleh PBB,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan rasa syukur selain mendoakan kesembuhan Prabowo yang selamat menjalani prosedur pembedahan besar pada minggu lepas.
"Turut mendoakan agar Prabowo diberikan rawatan baik dan penjagaan rapi sepanjang tempoh pemulihan selain diberikan kesembuhan segera untuk bingkas kembali melaksanakan tanggungjawab diamanahkan,” kata beliau.
Prabowo, Presiden Terpilih Indonesia bagi tempoh 2024-2029 menjalani pembedahan bagi pemulihan kecederaan dialaminya ketika bertugas dalam dunia ketenteraan sebelum ini.
Pada masa sama, Anwar juga menzahirkan harapan agar pilihan raya Indonesia yang bakal berakhir dengan Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) pada 27 November depan berlangsung dengan baik.
"Moga segala persediaan untuk pelantikan Prabowo sebagai Presiden pada 20 Oktober 2024 akan berjalan dengan lancar,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram