Calon PN nafi dakwaan isu air Sungai Bakap tak pernah dibawa ke sidang DUN


  • Politik
  • Isnin, 01 Jul 2024

Abidin berkata, sebagai pegawai khas kepada bekas ADUN Sungai Bakap itu, beliau adalah individu bertanggungjawab menyediakan soalan dan ucapan untuk Allahyarham.

CALON Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail menafikan tuduhan pemimpin DAP bahawa Allahyarham Nor Zamri Latiff tidak pernah membangkitkan isu pemotongan bekalan air di kawasan itu semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Abidin berkata, sebagai pegawai khas kepada bekas ADUN Sungai Bakap itu, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk menyediakan soalan dan ucapan untuk Allahyarham.

“Saya yang buat ucapan dan sediakan soalan untuk dia tanya semasa DUN tahun lepas,” kata Abidin.

BACA LAGI: Sijil ISO, siap Ketua Menteri mohon maaf, 3 isu hangatkan kempen PRK Sungai Bakap

BACA LAGI: Johor bukan rakan kongsi istimewa seperti Sabah dan Sarawak — Pakar Perlembagaan

Dia turut meminta pihak yang mendakwa Nor Zamri dalam hal itu supaya menyemak video terakhir yang dimuat naik di akaun TikTok Allahyarham yang sememangnya menyentuh mengenai isu kekurangan air.

Abidin yang pertama kali dipilih sebagai calon dalam pilihan raya bagi pilihan raya kecil (PRK) Sungai Bakap, berkata isu kekurangan air di kawasan itu penting kerana ia telah membelenggu penduduk sejak enam tahun lalu.

Beliau berkata, sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang baik, Nor Zamri telah menjalankan tugasnya sebagai semak dan imbang kepada kerajaan yang memerintah.

2776805

Isu kekurangan air di Sungai Bakap penting kerana ia telah membelenggu penduduk sejak enam tahun lalu.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), RSN Rayer semasa ceramahnya di Sungai Bakap mendakwa Nor Zamri tidak pernah membangkitkan isu air semasa sidang DUN.

Rayer berkata, beliau tidak pernah membaca sebarang laporan akhbar atau melihat rakaman video perbahasan bekas wakil rakyat PAS itu sebelum ini.

Beliau juga mencabar mana-mana pemimpin PN mengemukakan sebarang bukti bahawa bekas ADUN Sungai Bakap itu pernah membahaskan isu air melalui laporan akhbar atau video.

Rayer turut mempersoalkan kebolehan pemimpin PN untuk menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan terkini kempennya, Abidin berkata, sambutan pengundi Sungai Bakap setakat ini amat menggalakkan.

Ujarnya, penerimaan itu bukan sahaja daripada pengundi Melayu tetapi juga daripada kaum lain. — The Star/IMRAN HILMY

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram