[VIDEO] Sebelah kaki ke Jerman, anak muda Puchong membara sarung jersi Harimau Malaya


  • Podium
  • Rabu, 03 Jul 2024

Rania (biru) memulakan kariernya dalam dunia bola sepak dengan menyertai beberapa kelab amatur sekitar Lembah Klang.

PELUANG beraksi di luar negara sememangnya sukar ditolak mana-mana pemain tempatan, lebih-lebih lagi buat 'ubi muda' yang masih teruja untuk mengembangkan bakatnya.

Namun, perkara berkenaan bukanlah sesuatu yang mudah seperti di mata penyokong kerana mereka perlu berdepan tekanan dalam menyesuaikan diri.

Selain itu, sekiranya seseorang itu menyertai sebuah pasukan berkualiti, mereka juga perlu bersaing dengan bintang pasukan yang sudah bertahun-tahun berkhidmat di kelab tersebut.

BACA LAGI: Skuad wanita Sabah dah tahap JDT, The Rhinos masih terkial-kial selesai isu gaji

BACA LAGI: Bakal sertai kelab Jerman tak lama lagi, Qaseh Rania angkat Arif Aiman sebagai idola

2641399

Rania (kanan) diberikan peluang untuk menyertai sesi percubaan di VfL Wolfsburg.

Bagaimanapun, bagi seorang pemain wanita cilik, Qaseh Rania Najib yang mencuba nasib dengan menghadiri sesi percubaan di kelab gergasi Eropah, VfL Wolfsburg.

Anak kelahiran Puchong, Selangor itu tidak lagi asing dalam kalangan peminat selepas pernah dinobatkan pemain muda terbaik dalam Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Menurutnya, peluang itu sememangnya sukar ditolak kerana tidak semua pemain pernah diberikan tawaran sedemikian, sekali gus membuatkannya teruja untuk memberikan yang terbaik.

"Itu merupakan cita-cita Rania untuk menjadi seorang pemain profesional di Eropah. Ada juga kelab-kelab lain yang pernah hubungi saya seperti sekolah sukan di Barcelona dan Croatia, tetapi Rania pilih Wolfsburg kerana ia adalah pasukan terbaik dunia.

"Selain itu, VfL Wolfsburg pernah menewaskan Barcelona sebanyak dua kali dan saya rasa Rania lebih tertarik dengan kelab ini kerana Jerman adalah negara sukan nombor satu di dunia," katanya kepada Majoriti.

Menurutnya, dia akan berkelana ke Eropah pada Ogos depan dengan Rania akan menyertai sesi percubaan terlebih dahulu sebelum mengetahui sama ada bakal diserap ke dalam pasukan belia atau tidak.

Untuk rekod, pasukan Bundesliga berkenaan pernah menjulang dua gelaran Liga Juara-Juara Wanita UEFA (UWCL) pada 2013 dan 2014 selain beberapa kejuaraan domestik.

Malah, skuad yang kini dibimbing Tommy Strooy itu pernah diangkat sebagai kelab wanita terbaik di dunia sebanyak dua kali berturut-turut bermula 2013.

Jadi, peluang itu sudah tentu sukar ditolak Rania meskipun pengalamannya di pentas profesional sedikit terhad memandangkan usianya baru sahaja mencecah 14 tahun.

WhatsApp Image 2024-07-02 at 6.03.05 PM

Pasukan wanita VfL Wolfsburg merupakan antara pasukan terbaik di dunia. Agensi

Dalam pada itu, bekas pemain MBSJ FC berkenaan turut berharap dapat diberikan peluang mewakili negara pada masa akan datang di pentas tertinggi.

"Rania berharap saya dapat bermain dengan Malaysia dan saya amat bercita-cita kita dapat melayakkan diri ke Piala Dunia atau Sukan SEA," katanya lagi.

Setakat ini, Rania yang beraksi di posisi serangan pernah diberikan peluang menyertai sesi latihan skuad kebangsaan, namun masih belum diberikan ruang untuk mewakili negara.

Bagaimanapun, sekiranya pemain tersebut terus berusaha di Jerman bersama VfL Wolfsburg, tiada halangan buatnya daripada terus berkembang dari segi mental mahupun fizikal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram