MESKIPUN kurang mendapat perhatian dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan, aksi separuh akhir Liga Super Wanita FA Selangor (FAS WSL) Sabtu lalu masih boleh disifatkan sebagai meriah.
Dua perlawanan yang berlangsung menyaksikan pasukan pilihan, MBSJ FC layak ke peringkat akhir setelah menundukkan Kelana United menerusi penentuan sepakan penalti.
Mengiringi mereka ke final yang bakal diadakan di Stadium MBPJ, Selangor pada Ahad ini ialah pasukan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang juga memerlukan aksi penentuan sepakan penalti untuk menepikan saingan Spicegals.
Perlawanan yang diadakan di Arena MBSJ, Selangor itu dilihat cukup meriah dengan kehadiran ratusan penonton yang tidak henti-henti memberi sokongan kepada pemain.
Antara nama yang pastinya menjadi tumpuan ialah kapten skuad bola sepak wanita kebangsaan, Steffi Sarge Kaur yang mewakili MBSJ FC.
Pemain kelahiran Taiping, Perak itu cukup penting dalam kemaraan pasukannya ke pentas akhir dengan kelantangan serta kehadirannya dalam benteng pertahanan amat diperlukan.
Steffi (tengah) dan rakan sepasukannya meraikan kejayaan mereka ke pentas akhir Liga Super Wanita FAS. — Instagram/Steffi
Dalam aksi separuh akhir itu, Steffi sekali lagi menjadi watak utama apabila dia dengan tenang menjaringkan gol terakhir ketika penentuan sepakan penalti.
Katanya, kejayaan yang diraih tersebut cukup membanggakan dirinya dan rakan sepasukan, apatah lagi dengan tekanan yang dirasai kesemua pemain di atas padang.
"Sudah tentu saya puas hati kerana jika kita lihat permainan kedua-dua pasukan, boleh dikatakan kami sama-sama memberi tentangan antara satu sama lain.
"Memang saya ditugaskan untuk sepakan penalti, saya merupakan pemain pertama ditugaskan untuk mengambilnya. Jadi, sebagai ketua pasukan, itu yang saya mahu lakukan demi pasukan saya," katanya kepada Majoriti.
Steffi yang ketika ini sudah hampir mencecah usia 35 tahun pasti sudah cukup berpengalaman dalam dunia bola sepak dengan dia juga pernah mewakili pasukan kebangsaan ke Piala AFF Wanita.
Tidak cukup dengan itu, pemain tinggi lampai itu turut aktif dalam sukan futsal dan diberi kepercayaan untuk memakai lilitan kapten bersama pasukan.
Steffi pernah menjulang trofi Piala Tun Sharifah Rodziah bersama Melaka United. — Instagram/Steffi
Dalam masa sama, Steffi juga menegaskan dia tidak berasa terlalu tertekan menjelang aksi final dengan mengatakan bahawa perjalanan pasukan ke peringkat berkenaan lebih getir.
"Saya tidak rasa tekanan terlalu hebat pada perlawanan separuh akhir, tapi lebih kepada aksi final.
"Selepas melepasi tahap tekanan pertama, kita ada masa untuk mempersiapkan diri menjelang perlawanan akhir," katanya.
Sebelum ini, Steffi juga pernah mengecap kejayaan dalam dunia bola sepak apabila membantu Melaka United mengungguli trofi Piala Tun Sharifah Rodziah pada 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram