JUARA Liga Wanita Nasional (LWN), Sabah melakar sejarah baharu apabila disahkan berjaya menempah slot ke pusingan kelayakan Liga Juara-juara Wanita Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang akan berlangsung Ogos ini.
Skuad bola sepak wanita Sabah menjadi satu-satunya wakil tunggal negara pertama yang membawa cabaran tersebut ke pentas Asia dengan ia merupakan kali pertama pertandingan itu ditubuhkan oleh pihak AFC.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Sabtu, Setiausaha Agung badan induk itu, Datuk Noor Azman Rahman bersama pengendali Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi sudah mengadakan perbincangan lanjut mengenai persiapan Sabah.
BACA LAGI: Isyarat 4 jari 'hint' halus Sabah sekali lagi dilanda isu gaji?
BACA LAGI: Misteri '4 jari' terjawab, Sabah alami tunggakan gaji sejak Mac — Sumber
"Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman bersama ketua jurulatih Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi selaku ketua unit bola sepak wanita FAM telah hadir ke pejabat Persatuan Bola Sepak Sabah, (Jumaat) bagi menzahirkan ucapan tahniah serta mengadakan perbincangan lanjut mengenai persiapan pasukan.
"AFC Women’s Champions League 2024 diadakan buat julung kalinya oleh AFC dan skuad bola sepak wanita Sabah merupakan pasukan bola sepak wanita pertama di Malaysia untuk melayakkan diri ke pertandingan berprestij ini," kata kenyataan FAM.
Sabah bersama 14 pasukan lain akan berentap di pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Wanita AFC 2024 untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya bersama lagi lapan pasukan teratas yang telah layak berdasarkan kedudukan ranking FIFA.
Empat juara kumpulan akan layak ke peringkat kumpulan yang akan menyaksikan 12 kelab berentap bagi melayakkan ke Liga Juara-Juara Wanita AFC yang dijadualkan berlangsung pada Januari 2025.
Walaupun masih berada pada tahap pusingan kelayakan namun kejayaan Sabah itu membuktikan pasukan wanita tanah air juga mampu memberikan saingan kepada skuad bola sepak luar negara yang jauh lebih maju dari segi liga dan fasiliti yang lengkap.
Keberhasilan Sabah layak ke pusingan kelayakan Liga Juara-juara Wanita AFC juga menyaksikan pasukan berpangkalan di Borneo itu juga selangkah mengikut tahap Johor Darul Ta'zim (JDT) yang sudah beraksi di saingan Liga Juara-Juara AFC sejak 2015.
Sementara skuad bola sepak wanita Sabah semakin menunjukkan perkembangan mereka, ada penyokong mengenang nasib skuad lelaki iaitu Sabah FC yang kini pengurusan The Rhinos masih terkial-kial menyelesaikan isu gaji.
Sebelum ini, skuad The Rhinos didakwa mengalami masalah tunggakan gaji selepas beberapa pemain Sang Badak seperti Farhan Roslan dan Saddil Ramdani menunjukkan isyarat empat menggunakan jari.
Pemain Sang Badak seakan-akan memberikan klu mengenai nasib mereka. — Facebook/Sabah FC
Isyarat empat itu ditunjukkan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee selepas berjaya menundukkan PSIS Semarang dalam aksi RCTI Premium Sports dengan keputusan 2-1 di Stadium Antarabangsa Jakarta, Indonesia baru-baru ini.
Petunjuk berkenaan kemudiannya diterjemahkan rata-rata penyokong skuad Sang Badak yang mahu jawapan tepat diberikan pihak pengurusan akan situasi sebenar kewangan mereka.
Menurut sumber terdekat pasukan, Sabah sedang mengalami masalah tunggakan gaji sejak Mac lalu dan beliau mendakwa duit penajaan RM6 juta untuk perbelanjaan pasukan telah digunakan awal tahun ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram