KEJOHANAN bola sepak wanita di Malaysia jarang mendapat perhatian oleh para penyokong kerana rata-rata penggemar sukan itu hanya fokus pada saingan Liga Malaysia (Liga M) yang melibatkan perlawanan utama seperti Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Namun baru-baru ini, pasukan bola sepak wanita Majlis Perbandaran Subang Jaya (MBSJ) mendapat perhatian umum apabila berjaya membenam FC Japan Malaysia dengan kemenangan bergaya 15-0 pada perlawanan Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak FAS (FASWSL) 2024 pada Sabtu.
Perlawanan yang diadakan di Arena MBSJ, Subang Jaya, Selangor itu menyaksikan pasukan yang diwakili beberapa bintang kebangsaan seperti Intan Sarah Anisah Zulgafli, Steffi Sarge Kaur dan Nur Lyana Soberi tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan tiga mata penuh.
Dalam perlawanan itu, Intan Sarah atau lebih dikenali sebagai Intan Serah menyumbat lima gol dan Fatin Shahida Azmi turut mencetak jumlah sama untuk membantu MBSJ meraih kemenangan bergaya.
Steffi dan Andrea Lee Xin Yi masing-masing mencetak dua gol dan Lyana Soberi pula menjaringkan satu gol untuk melengkapkan kemenangan besar MBSJ ke atas pasukan FC Japan dalam perlawanan minggu kelima berkenaan.
BACA LAGI: Serangan tak cukup 'umpph' antara poin resahkan fans Gergasi Merah
Poster kemenangan MBSJ ke atas FC Japan.
Melihat kepada senario bola sepak wanita mempunyai jurang kompetitif yang sangat besar, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melakukan sedikit kelainan dalam kejohanan Liga Wanita Nasional (LWN) 2024 untuk merapatkan jurang itu.
Pengerusi Jawatanakuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob berkata, LWN tahun ini akan sedikit berbeza kerana badan induk itu melantik syarikat swasta untuk menguruskan perjalanan liga.
"Tahun ini kami akan melakukan sedikit perubahan, kita tunggu dan lihat sebab kita ada buat 'organizing committee' yang berbeza untuk melaksanakan perlawanan 'away' dan tempat sendiri.
"Ia supaya FAM dapat memastikan perlawanan itu berjalan dengan lancar.
"Kompetitif bermaksud, saya tak nak nampak setiap pasukan tidak mempunyai keupayaan membayar gaji pemain dan tidak boleh 'travel' (bergerak) disebabkan perlawanan 'postpone' (ditangguh)," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Dah lepak dengan Nidzam Jamil, Selangor mungkin terima khidmat import Korea Selatan
Intan Serah menyumbat lima gol untuk membantu MBSJ mendapatkan tiga mata penuh. — Instagram/IntanSerah
Tambahnya lagi, untuk mengurangkan defisit jaringan gol antara pasukan, FAM akan menghadkan kuota pemain kebangsaan di atas padang dalam LWN sekali gus boleh mencungkil bakat baharu bagi Malayan Tigress.
"Kompetitif yang kita (FAM) maksudkan adalah untuk tidak ada jurang jaringan 12-0, 15-0 kita nak tengok semua sama.
"Tahun lepas sangat bagus, 2-0 semua nombor agak menarik kerana kita meletakkan had jumlah kuota pemain-pemain kebangsaan di setiap pasukan.
"Hanya beberapa pemain kebangsaan yang boleh berada dalam padang untuk bermain dalam satu masa.
"Walaupun pasukan itu ada ramai pemain kebangsaan dalam pasukan, tetapi jumlah (pemain kebangsaan) berada dalam padang kita tetapkan.
"Dengan ini, kita akan nampak kebersamaan itu supaya nampak kompetitif itu lebih baik dan menjadi platform mereka berlatih dan menggunakan kejohanan LWN ini sebagai tempat untuk mereka tingkatkan kapsiti diri masing-masing," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram