PENAMPILAN skuad Malayan Tigress menentang pasukan World Cup Vietnam di Sukan SEA, Kemboja pada Rabu ini, dipersiapkan dengan taktikal baharu oleh Ketua Jurulatihnya, Soleen Al-Zoubi.
Soleen yang berpuas hati dengan taktikal baharu yang dipamerkan anak buahnya sepanjang kem latihan optimis skuad itu sudah bersedia menentang skuad gergasi Vietnam.
"Hampir semuanya lengkap, kami sentiasa boleh menambah baik, beberapa taktikal yang kami lakukan, semuanya baik-baik saja.
"Sejujurnya, kebanyakan pasukan masih muda, mereka menyerap segala-galanya dan mematuhi semua arahan, mereka melakukannya dengan sangat baik, dari segi arahan taktikal saya gembira, mereka mempunyai pengalaman bertarung yang baik,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor pada Isnin.
Sementara itu, kapten pasukan, Steffi Sarge Kaur berkata, jurulatih daripada Jordan itu turut memberi sentuhan latihan lebih moden sekali gus memberi keyakinan tinggi buat Malayan Tigress untuk berentap menentang Vietnam.
"Kali ini kem latihan sedikit berbeza, kalau ikut taktikal sebab kita ada jurulatih Soleen, kita harap dapat pergunakan taktikal baharu ini dalam pasukan untuk membuat penampilan seperti apa yang dirancang menentang Vietnam,” katanya.
Dalam pada itu, Steffi berkata, meskipun rata-rata barisan pemain skuadnya merupakan muka baharu, namun ia merupakan gabungan yang baik, melihat kepada keserasian pasukan yang ditampilkan sepanjang sebulan kem latihan ke temasya dwitahunan itu.
"Ini adalah permulaan baharu, skuad kita akan menentang pasukan World Cup, Filipina dan Vietnam, mereka membuat persiapan awal dan mereka sangat bagus, tapi apa yang penting kita akan turun padang dan beri seratus peratus penampilan terbaik,” katanya.
Skuad di bawah kendalian Soleen itu akan turun pada aksi pertama Kumpulan A menentang Vietnam pada Rabu (3 Mei), Filipina pada Sabtu (6 Mei) dan Myanmar pada Selasa (9 Mei) di Stadium Army, Phnom Penh, Kemboja.
Sekiranya skuad bola sepak wanita kebangsaan ini berjaya melepasi peringkat kumpulan, mereka akan beraksi di pusingan separuh akhir pada 12 Mei dan aksi final serta penentuan tempat ketiga atau empat yang akan berlangsung pada 15 Mei.
Malaysia pada edisi di Hanoi, Vietnam tidak menghantar wakil untuk beraksi pada acara itu. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram