SIAPA sangka, bakat bermain bola sepak yang dikurniakan sedari kecil bakal menjanjikan peluang dan masa depan yang cerah buat Qaseh Rania Khairul Najib.
Anak kedua daripada tiga beradik itu mula berjinak dalam sukan nombor satu dunia tersebut sejak berusia 10 tahun apabila sering mengikut abang sulungnya ke sesi latihan, futsal dan riadah petang bersama rakan sebaya.
Ketika berusia 13 tahun, video pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong itu menjaringkan gol menerusi satu sepakan percuma menjadi tular di media sosial dan semakin rancak diperkatakan apatah lagi dia bermain bersama pasukan lelaki ketika itu.
Minatnya mendalam kepada bola sepak membuatkan Qaseh Rania memutuskan untuk melupakan sukan lain sehingga mengambil inisiatif bermain bersama kelab amatur, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) ketika berumur 12 tahun.
Untuk rekod, pemain muda itu merupakan penyerang terbaik Penyerang Terbaik Bola Jaring Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2022 sewaktu mewakili Selangor namun minatnya terhadap sukan berkenaan tidak bertahan lama dan akhirnya bola sepak dipilih sebagai karier.
Qaseh Rania (kiri) ketika mewakili Selangor Bawah-15 (B-15) Tahun dalam aksi persahabatan menentang Singapura B-15.
"Awalnya, saya main bola jaring untuk Sekolah Kebangsaan Puchong Utama 2 dan pernah dapat penyerang terbaik semasa darjah tiga. Lepas itu saya main badminton dan melibatkan diri dalam sukan renang. Tapi bila tengok abang main bola, saya rasa nak cuba.
"Kalau ikut, saya mula fokus bermain bola semasa saya darjah lima. Sekolah tiada pasukan bola perempuan, jadi saya memang berlatih dengan abang sahaja. Saya mula fokus latihan, tingkatkan kualiti, dan sertai beberapa kejohanan bersama abang.
"Sebelum mereka (pemain lelaki) kenali diri saya, memang akan berjaga-jaga sebab saya kan perempuan tapi selepas dah tahu (cara saya bermain), memang tak bagi peluang. Semasa darjah enam, saya dah main dengan MBSJ.
“Ketika bersama MBSJ, saya dapat anugerah Pemain Muda Terbaik bagi saingan Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) 2023,” katanya kepada Majoriti ketika ditemui di ibu kota baru-baru ini.
Selepas hampir lima tahun terlibat dalam dunia bola sepak, bakat Qaseh Rania mencuri perhatian kelab berpangkalan di Jerman iaitu VFL Wolfsburg apabila pasukan berkenaan memberi tawaran menjadi platform mengembangkan kariernya sebagai pemain.
Pasukan dengan jolokan The She-wolves itu bukan nama asing dalam landskap bola sepak global dengan Wolfsburg kini tersenarai sebagai lima pasukan terbaik untuk kaum Hawa dan merupakan juara dua kali Liga Juara-Juara Asia Wanita pada musim 2012/13 dan 2013/14.
Qaseh Rania (tengah) bersama keluarga ketika berkunjung ke pejabat cawangan VfL Wolfsburg di Menara Matrade, Kuala Lumpur.
Qaseh Rania difahamkan mendapat tawaran daripada juara tujuh kali Frauen-Bundesliga (liga bola sepak wanita utama Jerman) itu pada awal tahun ini dan akan terbang ke Wolfsburg, Jerman, Julai ini untuk mendapatkan keserasian sebelum keluarga menyertainya di sana.
“Sangat bersyukur dengan peluang ini kerana saya dah bekerja keras sejak 10 tahun sampai sekarang. Saya rasa macam impian jadi kenyataan. Keluarga pun dah sokong sejak dulu impian saya ini.
“Sayadah membayangkan kehidupan baharu di sana. Dapat kawan baharu, suasana, gaya hidup dan budaya baharu. Kami sekeluarga dah bersedia untuk memulakan kehidupan serba baharu di sana.
“Saya bukan tak suka Malaysia tapi kadang-kadang di sini ada negativiti, ada yang cemburu. Tak dinafikan saya akan rindu kawan-kawan sekolah tapi saya selalu fikir, semua ini untuk masa depan saya,” kongsinya.
Wolfsburg bukan calang-calang pasukan dalam Frauen-Bundesliga apabila ketika ini, pasukan tersebut menduduki tempat kedua liga dengan mengutip 38 mata, enam mata di belakang Bayern Munich.
Qaseh Rania menerima anugerah Pemain Muda Terbaik bagi saingan Liga Super Wanita FAS 2023.
Qaseh Rania yang merupakan peminat pemain muda sensasi Johor Darul Ta'zim, Arif Aiman Hanapi menjadikan Wolfsburg sebagai kelab impian kerana pelaburan mereka untuk membangunkan akar umbi bola sepak wanita.
“Saya suka pembangunan mereka sebab dekat Jerman, pembangunan dalam sukan bagus. Saya rasa sesuai untuk memulakan karier di sana. Sebab kedua saya pilih kerana pelajaran, pelajaran di sana tak perlu bayar dan paling bagus dalam dunia.
“Manakala, Malaysia pula tiada pembangunan yang baik untuk pasukan perempuan. Kurangnya program akar umbi. Lepas itu saya putuskan kalau nak jadi profesional perlu keluar dari Malaysia,” kongsinya.
Untuk pengetahuan, kemahiran dan skil Qaseh Rania dalam bola sepak yang semakin meningkat dari hari ke hari itu merupakan usaha ayahnya, Khairul Najib yang membuat modul latihan dan menjaga pemakanan pemain muda berkenaan.
Menghitung tiga bulan lagi sebelum terbang ke negara Eropah berkenaan, Qaseh Rania kini difahamkan sedang gigih mempelajari bahasa Jerman untuk memudahkan komunikasi, selain mencari info untuk menjalani kehidupan baharu di Wolfsburg. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram