PASUKAN bola sepak wanita Sabah baru-baru ini disahkan akan bertanding pada pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Wanita Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2024 pada 25 hingga 31 Ogos depan.
Juara Liga Wanita Nasional (LWN) 2023 berkenaan menjadi satu-satunya wakil tunggal negara pertama yang membawa cabaran tersebut ke pentas Asia dengan ia merupakan kali pertama pertandingan itu ditubuhkan oleh pihak AFC.
Walaupun masih berada pada tahap pusingan kelayakan namun kejayaan Sabah itu membuktikan skuad wanita tanah air juga mampu memberikan saingan kepada pasukan luar negara yang jauh lebih maju dari segi liga dan fasiliti yang lengkap.
BACA LAGI: Skuad wanita Sabah dah tahap JDT, The Rhinos masih terkial-kial selesai isu gaji
BACA LAGI: Kena jaga pemakanan, juadah sedap Aidilfitri menduga duo bintang Selangor Women
Tidak ingin sekadar menjadi pelengkap jadual dalam pusingan kelayakan, pasukan Sabah dilihat kini sedang melakukan banyak persiapan dengan melakukan banyak perlawanan persahabatan.
Selain beberapa siri perlawanan pemanas badan, Sabah juga menunjukkan kesungguhan mereka dalam saingan itu dengan menandatangani pertahanan kental skuad bola sepak wanita Selangor FC Women.
Pemain yang dimaksudkan ialah Siti Nurfaizah Saidin yang baru sahaja menjadi watak penting Selangor di bahagian pertahanan dalam aksi Liga Super Wanita FAS (WSL) 2024.
Nurfaizah bukan calang-calang pemain apabila sering menjadi pilihan pengendali Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi dalam beberapa perlawanan 2023 seperti Kejohanan Women’s International Friendly di Arab Saudi.
Sabah sah menandatangani kontrak Nurfaizah (tengah). — Facebook/Sabah
Bek tengah yang juga merupakan anak jati Sabah itu juga memiliki sifat kepimpinan di atas padang apabila mendapat kepercayaan menjadi kapten Malaysian University (MUFT) pada saingan LWN 2023.
Dalam pada itu, Sabah bersama 14 pasukan lain akan berentap di pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Wanita AFC 2024 untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya bersama lagi lapan pasukan teratas yang telah layak berdasarkan kedudukan ranking FIFA.
Empat juara kumpulan akan layak ke peringkat kumpulan yang akan menyaksikan 12 kelab berentap bagi melayakkan ke Liga Juara-Juara Wanita AFC yang dijadualkan berlangsung pada Januari 2025.
Kehadiran Nurfaizah juga bukan sahaja digunakan untuk saingan Liga Juara-Juara Wanita AFC, malah pemain itu akan mengetuai barisan pertahanan Sabah bagi kejohanan LWN 2024 nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram