[VIDEO] Angkara kasut fans sendiri, keeper Romania leka sampai bolos kali ke-3 berdepan Belanda


  • Podium
  • Rabu, 03 Jul 2024

Nita sudah tentu kecewa dengan sikap penyokong yang membaling objek tersebut ketika permainan masih berlangsung. — Agensi

BELANDA mengesahkan slot mereka ke pusingan suku akhir Kejohanan Euro 2024 selepas menumpaskan Romania 3-0 dalam perlawanan berlangsung di Allianz Arena, Jerman pada awal pagi Rabu.

Gol daripada Cody Gakpo pada minit ke-20 memberikan kelegaan buat skuad kendalian Ronald Koeman meskipun serangan bertali arus dilancarkan pasukan lawan.

Meskipun terdapat percubaan untuk menembusi benteng pertahanan Belanda, ketumpulan barisan serangan Romania membuatkan usaha itu menghampakan.

BACA LAGI: [VIDEO] Air mata Ronaldo, Portugal masih ‘bernyawa’ di pentas Euro terakhir

BACA LAGI: Itali kekal setia dengan Spaletti walaupun gagal pertahan takhta kejuaraan Euro

Malah, pada minit ke-83, gawang Romania sekali lagi ditembusi dengan kali ini, giliran pemain sayap simpanan, Donyell Malen membuktikan deria penyudahnya di hadapan pintu gol.

Penyerang Borussia Dortmund berkenaan itu kemudiannya menambah koleksi jaringannya dalam Kejohanan Euro selepas menggegarkan gol Romania pada masa kecederaan, namun dalam satu situasi yang sedikit mengejutkan.

WhatsApp Image 2024-07-03 at 1.30.44 PM (1)

Sepasang kasut putih kelihatan berhampiran pintu gol Romania ketika gol ketiga Belanda terhasil.

Ketika satu serangan balas dilancarkan Belanda, penjaga gol Romania, Florin Nita terpaksa berundur memandangkan kedudukannya pada awal jauh meninggalkan gawangnya.

Bagaimanapun, setibanya pemain itu di kedudukan lebih baik, dia dikejutkan dengan sepasang kasut putih yang berada di atas padang dipercayai milik penyokong.

Meskipun objek asing itu tidak mengganggu permainan, ia sedikit sebanyak membuatkan Nita sedikit leka, sekali gus memberi ruang buat Malen menyempurnakan peluang tersebut.

Berdasarkan laporan media antarabangsa, penyokong di belakang gawang penjaga gol berkenaan adalah peminat setia Romania yang berkemungkinan kecewa atas persembahan pasukan tersebut.

Tetapi, anak-anak buah Edward Iordanescu tidak melakukan sebarang protes atas perkara tersebut memandangkan mereka yang sudah ketinggalan dengan dua gol sukar melakukan kejutan.

Kekalahan itu menyaksikan kemaraan Romania tersekat di peringkat 16 pasukan terbaik sementara Belanda mengesahkan slot di pentas suku akhir dan akan berdepan Turkiye pada Ahad depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram