BOLA sepak Malaysia dijangka akan menyaksikan satu lagi nama berkelana ke bumi Jepun selepas pemain Selangor FC, Muhammad Abu Khalil mungkin disunting kelab di sana.
Sebelum ini, Abu dipanggil menyertai sesi pemilihan bersama kelab J3 League, FC Osaka dan pemain itu dilaporkan berjaya menambat hati pengurusan.
Oleh itu, Abu dijangka akan ditawarkan kontrak dan bakal meneruskan legasi pemain-pemain Malaysia yang pernah bermain di sana tetapi, dia pergi dengan misi.
BACA LAGI: Berjaya curi tumpuan, ‘ubi’ Selangor bakal sertai kelab Jepun
BACA LAGI: RM40,000 kutipan tabung solidariti diserah kepada Selangor FC — Exco
Bukan yang pertama
Jika sah disunting oleh FC Osaka, Abu akan menjadi pewaris seterusnya bagi bola sepak Malaysia. Sebelum ini, terdapat beberapa nama yang pernah mencuba nasib beraksi di sana.
Paling diingati adalah pemain Perak FC, Wan Zack Haikal bersama FC Ryukyu ketika dia dianggap sebagai prospek bola sepak negara.
Ketika itu, dia bersama-sama Nazirul Naim mencuba nasib untuk mengembangkan karier mereka di sana namun begitu nasib tidak menyebelahi.
Karier Wan Zack Haikal di Jepun terbantut kerana kecederaan.
Malang buat Zack apabila kecederaan yang dialaminya ketika di Jepun membantutkan peluangnya untuk mencipta nama di sana. Zack kemudiannya pulang semula ke Malaysia sambil diikuti oleh Naim.
Selepas itu, kita mempunyai Hadi Fayyadh menyertai kelab seperti Fagiano Okayama serta Azul Claro Numazu. Walaupun berada di Jepun selama tiga tahun, tetapi impak Fayyadh tidak begitu menjadi hinggakan ada penyokong berpendapat masanya di Jepun tidak membawa hasil.
Kini, ada rakan sepasukan Abu dalam skuad bawah 23 tahun Malaysia iaitu Luqman Hakim Shamsudin bersama YSSC Yokohama. Seperti yang terdahulu, Luqman juga kelihatan sukar untuk mencari keserasian beraksi di sana.
Masa jadi angin baharu
Melihat kepada potensi dimiliki Abu, pastinya terserlah harapan untuk penyokong bola sepak tempatan melihatnya berjaya seandainya dia memilih untuk ke FC Osaka.
Dengan potensinya, pasti Abu mampu mencuri memberikan angin baharu buat pemain Malaysia yang pernah mencuba nasib di sana tapi tidak berhasil.
Hadi Fayyadh menghabiskan tiga tahun di Jepun.
Sudah tiba masanya untuk Abu membuka lembaran baharu buat pemain tempatan dan 'membersihkan' reputasi bintang terdahulu yang tercalar kerana tidak berjaya di Jepun.
Mungkin, ini adalah sedikit tekanan buat Abu tetapi ia tidak lain daripada sekelumit harapan untuk melihat anak Malaysia berjaya di bumi Jepun.
Jika tawaran itu datang dan berbaloi, ambil saja Abu. Bukan selalu peluang ke luar negara itu tiba. Ambil dan gunakan sebaiknya. Buat kami bangga! — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram