Gergasi Merah suka kejutan ‘last minute’, bintang Kuching City enggan ulangi kesilapan mudah


  • Podium
  • Rabu, 03 Jul 2024

Skuad The Cats sudah tentu mahu menggunakan kelebihan untuk mengesahkan slot ke separuh akhir Piala FA 2024/25. — Facebook/Kuching City FC

PENJAGA gawang Kuching City FC, Shahril Sa’ari mengakui peranannya di hadapan pintu gol amat penting, terutamanya pada waktu kritikal untuk menentang Selangor FC pada aksi suku akhir kedua Piala FA pada Sabtu ini.

Dia yang mengakui gol pertama diperoleh Selangor pada suku akhir pertama tempoh hari adalah kerana kesilapannya enggan mengulangi perkara sama dan lebih berhati-hati dalam memastikan gawang tidak lagi dibolosi dalam perlawanan seterusnya ini.

Bagi penjaga gol berusia 34 tahun itu, aksi suku akhir kedua di Stadium MBPJ, Selangor pastinya lebih sukar melihat kepada semangat juang daripada anak-anak buah Nidzam Jamil yang ingin kembali bangkit di hadapan penyokong mereka pula.

BACA LAGI: RM40,000 kutipan tabung solidariti diserah kepada Selangor FC — Exco

BACA LAGI: Fans tak berlapik kritik teguran Sultan terhadap isu Selangor FC-MFL

449714544_1020011303350301_1479702737989096240_n

Shahril enggan mendabik dada meskipun skuad The Cats memiliki kelebihan. Facebook/Kuching City FC

“Kita tahu Selangor merupakan pasukan yang kuat lebih-lebih lagi beraksi di laman sendiri dan ini bukan perlawanan yang mudah untuk kita.

“Sejujurnya, apa yang boleh kita buat adalah mengelakkan kesilapan mudah di hadapan gawang sebab saya boleh katakan Selangor mempunyai barisan penyerang yang sangat berbahaya," katanya kepada MFL.

Malah, Shahril juga sedar akan tugas cukup penting digalas seluruh pasukan untuk tidak melakukan kesilapan mudah, terutamanya pada waktu kritikal yang boleh membuka ruang kepada lawan menjaringkan gol.

“Jadi, kalau mereka nampak sedikit ruang daripada kita, memang susah dan sebab itu pasukan harus lebih waspada untuk elak kesilapan sama berulang," jelasnya.

449701221_1020012240016874_5290384923416456406_n

Jordan Mintah berjaya menjaringkan gol kemenangan buat skuad The Cats. Facebook/Kuching City FC

Dalam aksi suku akhir pertama yang berlangsung di Stadium Negeri, Sarawak, skuad The Cats berjaya menewaskan Selangor dengan keputusan 2-1 minggu lalu.

Gol daripada Jordan Mintah dan James Okwuosa memastikan kelebihan berpihak kepada pasukan bimbingan Aidil Sharin Sahak meskipun skuad Gergasi Merah pada awalnya memiliki gol pendahuluan menerusi Ronnie Fernandez.

Meskipun Kuching City memiliki kelebihan satu gol ke tempat lawan, Shahril percaya laluan mereka untuk ke separuh akhir tidak mudah kerana Selangor FC gemar melakukan kejutan pada minit-minit akhir perlawanan.

“Bagi saya, selagi kita boleh bertahan, kita kena bertahan dan apa sahaja yang datang walaupun dah minit akhir, kalau kita berdisiplin, insya-ALLAH semuanya akan baik.

“Sesi latihan sekarang pun ada sedikit perubahan daripada jurulatih, tetapi beliau amat tekankan kepada keseluruhan pasukan, bukan individu”, tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram