RM40,000 kutipan tabung solidariti diserah kepada Selangor FC — Exco


  • Primer
  • Sabtu, 29 Jun 2024

Najwan turut menghargai keputusan MFL meringankan denda dan hukuman yang dikenakan terhadap skuad Gergasi Merah.

KUTIPAN Tabung Solidariti Bersama Selangor FC yang dilancarkan Kerajaan Negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) diserahkan sepenuhnya kepada pasukan itu.

Berdasarkan laporan SelangorKini, Exco Sukan Najwan Halimi berkata, lebih RM40,000 berjaya dikumpul dalam tempoh kurang 48 jam selepas tabung itu dilancarkan pada Rabu.

"Dana atau tabung solidariti, ia bukan soal berikan duit semata-mata tetapi kita beri ruang kepada peminat untuk nyatakan sokongan dan solidariti bersama.

"Dana ini untuk kita bantu Selangor FC. Setakat ini sudah lebih RM40,000 dalam masa kurang 48 jam. Kita akan serahkan 100 peratus tanpa caj pentadbiran,” katanya.

BACA LAGI: Fans tak berlapik kritik teguran Sultan terhadap isu Selangor FC-MFL

BACA LAGI: 'Mereka tidak keseorangan', giliran Sanusi tampil beri sokongan buat Selangor FC

Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Sukan Negeri Selangor akan mengadakan Majlis Penyerahan Insentif Kemerlangan Negeri Selangor yang akan disempurnakan oleh YB Tuan Mohd Najwan bin Halimi, EXCO Belia, Sukan Dan Keusahawanan Negeri Selangor.—LOW BOON TAT/THE STAR

Najwan (tengah) ketika menghadiri majlis penyerahan intensif kepada atlet Selangor.

Terdahulu, Najwan menyempurnakan penyerahan insentif atlet Selangor di Hotel Concorde di Shah Alam, Selangor yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif MSNS, Mohamad Nizam Marjugi.

Najwan turut menzahirkan penghargaan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang mengurangkan hukuman terhadap Selangor FC susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurutnya, pengurangan denda tersebut bagaimanapun tidak mengubah ketetapan Selangor FC untuk meneruskan proses rayuan menerusi pelbagai saluran disediakan.

Katanya, kerajaan negeri sedia menghulurkan bantuan kepada skuad Gergasi Merah dalam proses mendapatkan keadilan selain menyokong setiap keputusan yang dibuat kelab bola sepak tersebut.

"Kita ucapkan terima kasih kepada MFL yang ambil cakna terhadap keresahan peminat sukan, selain menjunjung titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam memberi pengurangan hukuman kepada Selangor FC.

448141134_980723034059425_3949689128250078459_n

Pelbagai bentuk hukuman sebelum ini dikenakan kepada skuad Gergasi Merah. Facebook/Selangor FC

“Kita minta mereka (Selangor FC) gunakan semua saluran yang ada untuk dapatkan keadilan. Jika ia terlalu keras dan tidak adil, ada pilihan lain, mungkin di peringkat mahkamah timbang tara sukan,” katanya.

MFL dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan ahli lembaga pengarah menggunakan budi bicara untuk menimbang semula hukuman yang dikenakan terhadap kelab Lembah Klang itu sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Selangor.

Selepas pertimbangan MFL, hukuman denda terhadap Selangor FC dikurangkan daripada RM100,000 kepada RM60,000 manakala pemotongan tiga mata Liga Super 2024/25 yang dikenakan turut dibatalkan.

Selain itu, larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super minggu ke-14 melibatkan Selangor FC menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium MBPJ, Selangor turut ditarik balik dan penonton akan dibenarkan hadir menyaksikan aksi itu nanti.

Menurut MFL, tempoh rayuan diberikan kepada Selangor FC adalah tiga hari bermula 27 Jun seperti yang termaktub dalam Aturan 4, Kaedah 3, Kaedah-kaedah Badan Penguatkuasa Peraturan, Manual Liga Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram