KELEBIHAN kini dimiliki Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam saingan Piala FA apabila mereka berjaya menumpaskan seteru Utara, Penang FC pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 28 Jun lalu.
Kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan Hasbullah Abu Bakar dalam perlawanan itu memastikan skuad Sang Kenari sudah selangkah ke pusingan seterusnya.
Bagaimanapun, gaya permainan ditonjolkan skuad bimbingan Akmal Rizal Ahmad Rakhli dalam pertembungan itu tidak memastikan kelebihan penuh dimiliki Kedah.
BACA LAGI: Piala FA: Hilang 4 tonggak utama, Kim Swee masih ada pelan B
BACA LAGI: Masalah gaji antara 3 sebab Sabah mungkin 'tenggelam' aksi Piala FA lawan TFC
Gol Hasbullah (dua dari kanan) memastikan kemenangan buat skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
Gaya permainan serangan diterapkan Penang FC dalam aksi tersebut sudah tentu akan membawa kegusaran terhadap pertahanan KDA FC yang masih belum cukup serasi.
Meskipun dapat merekodkan 'clean sheet' dalam perlawanan itu, ketumpulan penyerang lawan, Nabil Ahmad Latpi menjadikan skuad Harimau Kumbang gagal mendapatkan sebarang jaringan.
Hal itu turut diakui legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan yang melihat ancaman diberikan Penang FC akan membawa ancaman terhadap skuad Sang Kenari dalam aksi akan datang.
"Kita tahu Kedah lebih berpengalaman, pemain-pemain mereka lebih serasi dengan bola di tengah. Amirul (Hisyam Awang Kechik) bermain dengan baik, Sony Norde (berada) di situ.
Zainal beranggapan kedua-dua pasukan memiliki kelebihan masing-masing.
"Tetapi kita kena ingat Penang kerap melakukan serangan-serangan merbahaya. Bagi saya, Penang masih lagi memiliki satu masalah yang mereka tak dapat atasi iaitu penjaring gol," katanya dalam satu rancangan Astro Arena.
Derbi Utara antara kedua-dua pasukan itu bakal berlangsung pada Jumaat ini di Stadium Darul Aman, Kedah dengan peluang besar boleh dikatakan milik KDA FC.
Selain sudah meraih kemenangan di tempat lawan, rekod pertembungan antara dua kelab gergasi Utara tersebut lebih memihak kepada pasukan kendalian Nafuzi Zain.
Jika Kedah meraih kemaraan ke pusingan seterusnya, mereka bakal berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) atau Malaysia University dalam aksi separuh akhir.
Bagaimanapun, ramalan ramai menjangkakan skuad Harimau Selatan berpeluang cerah untuk menjadi lawan mereka selepas pasukan itu meraih kemenangan 5-0 dalam perlawanan pertama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram