‘Saya tunggu kelab’, ex hero Penang luah kerinduan


  • Podium
  • Isnin, 01 Jul 2024

Lucas Silva menjaringkan 11 gol untuk Penang FC sepanjang bersama kelab tersebut.

SEJAK beberapa musim kebelakangan ini, Penang FC sering kurang bernasib baik apabila melibatkan penyerang import.

Nama-nama yang dibawa ke dalam skuad Harimau Kumbang sebelum ini seperti Abdul Abdeen, Curt Dizon dan Christian Rontini sering kali mengecewakan penyokong dan menjadi punca mengapa Penang gagal menyerlah seperti diharapkan.

Walaupun begitu, masih ada nama yang berjaya mengukir senyuman dalam kalangan penyokong dengan jaringan-jaringannya. Namanya adalah Lucas Silva.

BACA LAGI: Lucas Silva sia-siakan peluang tebus karier, digesa lekas tinggalkan Sri Pahang

BACA LAGI: Tiga penyerang Liga Super dari Borneo, Terengganu dan NSFC sesuai ganti Lucas Silva di Pahang

Tempoh masa Silva bersama-sama Penang hanya sementara dengan penyerang Brazil itu hanya bermain separuh musim pada 2022. Namun begitu, impak ditinggalkannya cukup hebat.

Sebagai rekod, Silva cuma beraksi sebanyak 15 kali tetapi berjaya menghasilkan 11 gol serta satu bantuan jaringan. Rekod yang cukup baik bagi seorang pemain yang beraksi selama setengah musim.

Impak ditinggalkan Silva nyata membuatkan penyokong Penang rindu akan kualitinya di depan gol lawan. Malah, pemain berusia 34 tahun itu juga merindui masanya di Penang.

Menerusi perkongsian Penang Brotherhood, Silva mendedahkan yang dia rindu untuk menyarung jersi Penang dan berharap berpeluang untuk kembali.

Kini beraksi bersama-sama Tai Po dalam saingan utama Hong Kong, Silva menyerahkan segalanya kepada Penang untuk mendapatkannya semula atau tidak.

"Saya sentiasa mengharapkan (untuk kembali), terpulang kepada kelab saja," kata Silva.

Silva juga mengatakan yang dia akan bercuti ke Pulau Pinang bersama-sama keluarganya sekitar Ogos kelak. Ketika itu, pengurusan Penang boleh mengambil peluang dengan berbincang dengannya bagi membawa masuk Silva kembali ke pasukan.

Jika kedua-dua pihak mempunyai minat untuk kembali bersatu, tak mustahil jika Silva dan Penang boleh bergabung semula. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram