Piala FA: Hilang 4 tonggak utama, Kim Swee masih ada pelan B


  • Podium
  • Khamis, 27 Jun 2024

Sebahagian sesi latihan pasukan Sabah FC yang dilihat sudah bersedia untuk menghadapi cabaran Terengganu FC bagi aksi pertama suku akhir Piala FA Jumaat nanti. — Facebook/Sabahfc

KETUA jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee tidak gusar dengan persediaan pasukan meskipun bakal ke bumi Terengganu tanpa empat pemain utama untuk aksi suku akhir pertama Piala FA pada Jumaat, lapor MFL.

Darren Lok, Miguel Cifuentes, Gabriel Peres dan Gary Steven Robbat terpaksa diketepikan untuk perlawanan menentang Terengganu FC susulan kecederaan yang dialami mereka.

Namun, Kim Swee tetap bersedia dengan pelan B bagi membentuk skuad terbaik untuk menghadapi anak-anak buah Tomislav Steinbruckner yang ketika ini dilihat semakin konsisten.

BACA LAGI: Dari awal Liga M dilabel liga sarkas angkara 3 hukuman MFL bikin panas fans

BACA LAGI: Piala FA: Kelibat Jalil Elias di latihan bukti masih bersama JDT, sedia ranap budak universiti

WhatsApp Image 2024-06-27 at 13.33.01 (1)

Kim Swee turut menganggap perlawanan timbal balik suku akhir Piala FA ini pastinya menghadirkan pelbagai kejutan. Facebook/Sabahfc

Apa yang pasti, Kim Swee menuntut kerja keras seluruh pasukan memandangkan beraksi di tempat lawan seperti Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu bukanlah mudah jika melihat kepada rekod bersih Sang Penyu yang masih belum tewas di laman sendiri.

“Empat pemain tersebut masih lagi belum pulih selepas berdepan kecederaan dan berkemungkinan besar memang tidak akan bersama pasukan ke Terengganu.

“Apa pun kami tetap bersedia dan semua tahu Terengganu mempunyai rekod yang baik di tempat sendiri apatah lagi mereka juga ada ramai pemain berkualiti seperti Akhyar Rashid dan Safawi Rasid.

“Jadi kita sendiri harus berada dalam tahap terbaik untuk memastikan kita tidak kehilangan gol dan perlu meraih keputusan positif Jumaat ini”, jelasnya.

Kim Swee bagaimanapun menganggap perlawanan timbal balik suku akhir Piala FA ini pastinya menghadirkan pelbagai kejutan.

Apa jua keputusan yang bakal diperoleh untuk aksi pertama ini akan dijadikan penanda aras untuk mereka lebih bersedia pada perlawanan kedua nanti.

“Apabila ada dua pusingan iaitu timbal balik, apa jua keputusan pun hanya akan kita ketahui pada perlawanan kedua itu nanti.

“Kita tidak boleh nak tahu siapa yang akan layak ke separuh akhir daripada perlawanan pertama sahaja dan untuk itu, bagi saya sangat penting untuk kita tidak sia-siakan peluang apabila bermain di laman sendiri nanti”, tambahnya.

Selain aksi antara Terengganu dan Sabah, satu lagi perlawanan berlangsung pada Jumaat adalah pertembungan derbi Utara antara Penang FC dan Kedah Darul Aman FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram