PERLAWANAN Pusingan 16 saingan Piala FA antara Sabah FC dan Terengganu FC (TFC) pada Jumaat ini akan menyaksikan skuad The Rhinos terlebih dahulu berkunjung ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Terengganu.
The Rhinos layak ke Pusingan 16 Piala FA selepas membelasah kelab Liga A1 Semi-pro, Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) dengan keputusan 7-0 dalam aksi pusingan pertama pada 15 Jun lalu.
Manakala, Sang Penyu layak ke pusingan suku akhir Piala FA selepas menewaskan Perak FC dengan keputusan 2-1 pada 14 Jun lalu menerusi jaringan Safawi Rasid dan tonggak import, Marin Pilj.
BACA LAGI: Dipertikai guna Bunga Matahari, Puaka Jerai perjelas maksud sebenar maskot Kedah
BACA LAGI: Ia satu kelebihan buat pasukan yang akan lawan JDT — Irfan Bakti
Perlawanan di Gong Badak dijangka sengit lagi-lagi jika melihat kedudukan semasa Liga Super mereka yang menyaksikan Terengganu di tangga kedua dengan lapan mata selepas empat perlawanan.
Manakala, Sang Badak mengekalkan rekod tanpa kalah dan menghuni kedudukan ketiga liga dengan mengutip tujuh mata selepas mengutip dua kemenangan serta satu keputusan seri.
Begitupun sukar untuk meramal pasukan mana yang akan meraih kemenangan pertama pada aksi di Gong Badak ini, namun ada suara-suara meramal Sabah FC mungkin tewas di tangan Terengganu.
Ramalan berkenaan hadir selepas mengambil kira beberapa faktor yang tengah berlaku dalam kem Sabah FC. Oleh itu, Majoriti cuba merungkai tiga kemungkinan Sang Badak akan berdepan kesukaran di bumi Darul Iman itu.
1) Masalah gaji
Difahamkan, pihak pengurusan Sabah FC sudah melangsaikan gaji untuk satu bulan sahaja. — Facebook/Sabah FC
Tunggakan gaji Sabah FC yang kini sudah tersebar sehingga ke Indonesia nampaknya masih belum selesai sepenuhnya dan ia dijangka akan memberi kesan kepada moral pemain menjelang pertemuan pada Jumaat ini.
Maklumat terakhir yang diperolehi Majoriti apabila sumber memberitahu bahawa pihak pengurusan Sabah FC sudah melangsaikan gaji untuk satu bulan namun difahamkan masih mencecah beberapa bulan lagi.
Meskipun Pengurus Besar Sabah FC, Mohd Joh Wid, menafikan isu terbabit namun hakikatnya masalah berkenaan masih membelunggu dan ia akan mengganggu Sabah memperoleh keputusan positif.
Sekiranya pihak pengurusan Sang Badak dapat menyelesaikan masalah berkenaan sebelum terbang ke Terengganu, Sabah pasti tidak mempunyai masalah untuk memberi saingan sengit kepada pasukan kendalian Tomislav Steinbruckner.
2) Skuad depth TFC lebih meyakinkan
Kesebelasan utama Terengganu yang sering menjadi pilihan Steinbruckner. — Facebook/TFC
Antara Sabah dan Terengganu, kedalaman skuad Sang Penyu jauh lebih meyakinkan dengan mereka musim ini dibarisi pemain berkualiti dengan lapan daripadanya berpengalaman menyarung jersi kebangsaan.
Gabungan pemain tempatan berpengalaman dan import yang menyaksikan kombinasi pemain lama dan baru pasukan itu dicanang mampu memacu Sang Penyu berdasarkan reputasi masing-masing.
Sang Penyu memiliki pemain import berkualiti seperti Ivan Mamut, Nurillo Tukhtasinov, Manuel Ott, Marin Pilj dan pertahanan baharu iaitu Matthew Steenvoorden yang dijangkan akan melakukan debutnya.
Jika dibandingkan dengan Sabah, mereka banyak mengharapkan pemain sama seperti Saddil Ramdani, Stuart Wilkin, Ramon Machado, Dominic Tan dan beberapa pemain lain untuk bermain selama 90 minit permainan.
3) Gelanggang sendiri
Kelebihan beraksi di laman sendiri patut perlu diambil peluang sebaik mungkin oleh Terengganu untuk mengatasi Sabah bagi memastikan mereka membawa bekalan selesa ke Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 6 Julai nanti.
Sepanjang pertemuan menentang Sabah di SSMZA sejak 2021, saingan musim 2023 Liga Super menyaksikan pertama kali The Rhinos meraih kemenangan apabila meledak empat gol di gelanggang rasmi Terengganu itu.
Manakala, saingan 2022 menyaksikan Sabah tidak meledak sebarang gol sehingga perlawanan berakhir dengan keputusan 0-2 memihak Terengganu bagi pusingan kedua Liga Super. Musim 2021 pula menyaksikan kedua-dua meraih satu mata.
Oleh itu, anak-anak buah Steinbruckner diharap perlu menggunakan segala kelebihan beraksi di laman sendiri untuk meraih keputusan positif dalam perlawanan penting tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram