Menyerlah di BG Pathum, bek The Rabbits antara pemain serantau boleh isi kuota Asean Pahang, KDN dan Kedah


  • Podium
  • Isnin, 01 Jul 2024

Ryhan menyertai BG Pathum pada Mei 2023 selepas mempamerkan aksi cemerlang bersama Chiangmai FC. — Instagram/Ryhan

MUSIM ini Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), kuota pemain import 2024-2025 yang dipersetujui semua pasukan adalah enam 4+1 (Asia)+1 (Asean) dibenarkan berada di atas padang pada satu-satu masa dengan seorang pemain di bangku simpanan.

Jika kita melihat pada barisan pemain import yang beraksi pada musim ini, kebanyakan pasukan akan cenderung untuk menggunakan tenaga dari Amerika Latin seperti Brazil, Argentina dan ada juga bintang Eropah menjadi pilihan.

Fokus kelab yang terlalu melihat pemain-pemain import dari negara Barat itu membuatkan ada sesetengah pasukan Liga Malaysia (Liga M) lupa untuk mengisi kuota pemain Asia Tenggara ataupun Asean pada saingan musim 2024-2025.

Pemain dari rantau Asia Tenggara semakin mendapat perhatian pasukan dari negara yang menjadi kuasa bola sepak seperti Jepun dan beberapa negara di Eropah seperti England, Belgium dan Belanda.

Oleh itu, pasukan Liga Super juga patut memberi peluang yang sama dari rantau berkenaan lagi-lagi kini sebahagian daripada mereka berstatus ejen bebas dan wajar menjadi rebutan;

1) Kelantan Darul Naim FC

Pasukan Liga 1 Indonesia, PSIS Semarang secara rasmi melepaskan pemain tengah menyerang, Gian Zola Nasrullah selepas beraksi selama semusim bersama skuad Mahesa Jenar pada saingan 2023/2024 baru-baru ini.

Gian Zola sendiri secara langsung mengucapkan selamat tinggal kepada pihak pengurusan pasukan berkenaan selepas mengetahui dia menjadi pemain pertama yang tidak disambung kontrak pada saingan musim depan.

Sepanjang saingan musim 2023-2024 bersama PSIS, pemain berusia 25 tahun itu diberikan peluang bermain dalam 21 perlawanan dan menjaringkan satu gol dalam perlawanan ketika menentang Rans Nusantara FC.

Walaupun rekodnya tidak terlalu mengagumkan bersama PSIS namun pasukan seperti Kelantan Darul Naim (KDN) FC wajar meletakkan Gian Zola dalam senarai pemain boleh direkrut pada jendela perpindahan Ogos ini.

Skuad Kijang Emas setakat ini hanya mempunyai Jasmir Mehat dan pemain muda, Syahir Abdul Rashid untuk menggalas tanggungjawab sebagai tonggak tengah menyerang.

2) Sri Pahang FC

Awal musim ini, penyokong Liga M dikejutkan dengan masalah gaji menimpa beberapa pasukan dan Sri Pahang FC antara pasukan yang terkesan dengan masalah tunggakan gaji dengan khabar angin mengatakan kebajikan skuad Tok Gajah terabai untuk beberapa bulan.

Meskipun tiada pengesahan daripada pihak pengurusan, pendedahan secara halus daripada pemain di media sosial menceritakan isu di sebalik tabir dan aksi atas padang Tok Gajah juga membawa maksud sama.

Dengan masalah kewangan berkenaan, Pahang setidaknya boleh cuba mencari pemain rantau Asean untuk menambah baik squad depth pasukan terutama di bahagian tengah yang kini banyak mengharapkan kepada Azam Azih.

Pemain Vietnam, Hoang Thinh Ngo yang baru sahaja dilepaskan Nam Dinh FC boleh berada dalam radar Tok Gajah apabila tonggak berusia 32 tahun itu boleh membantu menambah pilihan di bahagian tengah Tok Gajah pada musim ini.

3) Kedah Darul Aman FC

Kedah Darul Aman (KDA) FC yang kini tidak mempunyai pemain dari Asean juga boleh cuba mencari pemain dari rantau berkenaan. Antara posisi yang boleh difokuskan ialah bahagian bek kiri apabila kini ia hanya diisi oleh Ariff Farhan dan Zamri Pin Ramli.

Antara pemain boleh dipertimbangkan ialah bek kiri Singapura iaitu Ryhan Stewart yang baru-baru ini dilihat sedang aktif mempromosikan diri sendiri dengan menepek profilnya pada iklan pencarian pemain di media sosial, LinkedIn.

Untuk rekod, pemain berusia 24 tahun berkenaan difahamkan sudah bersedia untuk meninggalkan pasukan Liga 1 Thailand, BG Pathum United selepas kontraknya tamat pada 30 Jun nanti.

Pemain warisan Singapura-Wales berkenaan menyertai BG Pathum pada Mei 2023 selepas mempamerkan aksi cemerlang sebagai bek kanan pasukan Liga 2 Thailand, Chiangmai FC.

Semasa bersama BG Pathum, Ryhan beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL), Liga Thai 1, dan Piala FA Thailand. Untuk musim ini, dia membuat 22 penampilan, menjaringkan satu gol dan memberikan satu bantuan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram