Berjaya curi tumpuan, ‘ubi’ Selangor bakal sertai kelab Jepun


  • Podium
  • Isnin, 01 Jul 2024

Muhammad Abu Khalil dilaporkan bakal menyertai kelab J3 League iaitu FC Osaka.

SEJAK beberapa musim, Selangor FC dilihat komited dalam membangunkan bakat-bakat muda yang dimiliki mereka.

Beberapa nama pemain muda dilihat sudah mula bersama dengan skuad senior Gergasi Merah seperti Mukhairi Ajmal, Aliff Haiqal dan Izwan Yuslan.

Namun begitu, ada satu nama yang mungkin akan melangkaui tiga pemain tersebut selepas berjaya memikat kelab luar.

BACA LAGI: RM40,000 kutipan tabung solidariti diserah kepada Selangor FC — Exco

BACA LAGI: Fans tak berlapik kritik teguran Sultan terhadap isu Selangor FC-MFL

WhatsApp Image 2024-07-01 at 16.07.54

Abu (kanan) mewakili skuad Harimau Muda sebanyak lima kali. — FAM

Menurut laporan OneFootball.my di laman X, nama Muhammad Abu Khalil dilaporkan menarik perhatian kelab Jepun iaitu FC Osaka selepas mempamerkan persembahan cemerlang dalam sesi percubaan.

Sebelum ini, Abu menerima tawaran daripada kelab tersebut menjalani latihan percubaan dan jelas sekali dia tidak mengecewakan.

Pemain tengah berusia 19 tahun itu dilaporkan melepasi ujian percubaan dan FC Osaka dikatakan bersedia untuk menawarkan kontrak buat Abu.

Abu dilaporkan berjaya mencuri tumpuan dengan kualitinya ketika menyerang dan dilihat mempunyai bakat besar untuk menjadi pemain tengah berkualiti satu hari nanti.

Namun begitu, masih belum dapat ditentukan berapa lamakah kontrak yang akan ditawarkan oleh FC Osaka Abu dan jumlah yang mereka tawarkan kepada Selangor.

Untuk rekod, pemain skuad bawah 23 tahun Malaysia itu masih mempunyai kontrak bersama Selangor dan kelab itu mungkin akan meminta sejumlah yuran perpindahan.

Jika tidak melibatkan yuran perpindahan, Gergasi Merah mungkin meminta sejumlah wang pampasan kepada FC Osaka selepas mereka bertanggungjawab membangunkan bakat yang ada pada Abu.

Sekiranya perpindahan itu terjadi, Abu bakal menyertai salah sebuah kelab utama dalam saingan J3 League dan ia dilihat sebagai platform terbaik untuknya mengembangkan bakat di luar negara.

Ia juga bakal memberikan petanda buat Selangor yang usaha mereka membangunkan pemain muda berjaya membuahkan hasil apabila bakat yang ada diiktiraf kelab luar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram