Pestabola Merdeka kembali lagi, tapi fans harap bukan semua aksi diadakan di SNBJ


  • Podium
  • Isnin, 01 Jul 2024

Malaysia kalah kepada Tajikistan pada aksi akhir Pestabola Merdeka 2023. — AHMAD IZZRAFIQ ALIAS/The Star

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan pada Isnin yang kejohanan Pestabola Merdeka akan kembali untuk edisi 2024.

Dalam kenyataan dikeluarkan oleh badan induk bola sepak negara itu, kejohanan jemputan itu akan diadakan pada 2 hingga 10 September melibatkan empat pasukan.

Empat pasukan tersebut adalah Malaysia, Lubnan, Filipina dan Tajikistan dan semua aksi akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

BACA LAGI: 10 tahun berlalu, 3 bintang skuad Pestabola Merdeka 2013 masih mantap di Liga Super

BACA LAGI: Legenda Liverpool ukir nama wakili Malaysia, jadi kapten skuad Pestabola Merdeka

Mengikut rekod, ia merupakan kali pertama penganjuran Pestabola Merdeka diadakan secara berturut-turut selepas 16 tahun. Kali terakhir ia diadakan secara berturut-turut adalah pada 2006, 2007 dan 2008.

Edisi 2024 juga akan menyaksikan Tajikistan kembali untuk mempertahan kejuaraan dimenangi mereka selepas menewaskan Malaysia 2-0 di perlawanan akhir.

Ia turut menyaksikan Lubnan akhirnya akan membuat kemunculan selepas penyertaan mereka pada tahun lalu tidak menjadi kenyataan kerana faktor satu lagi pasukan iaitu Palestin yang juga bertanding.

Hal ini kerana ketika itu kedua-dua negara diletakkan dalam kumpulan sama bagi saingan Piala Asia 2023.

Melihat kepada pengumuman FAM, penyokong bola sepak tempatan memberikan respons mengenai penganjuran Pestabola Merdeka.

Ada yang memuji dan terdapat juga kritikan. Kritikan ketara adalah keputusan FAM yang menetapkan Bukit Jalil sebagai lokasi perlawanan bagi aksi separuh akhir, penentuan tempat ketiga dan perlawanan akhir.

"Buatlah (di) dua stadium. Hancur (rumput) Stadium Bukit Jalil tu sebab main empat perlawanan," kata penyokong bernama Khairul Annuar.

"Tak naklah, confirm jadi sawah. Tanyalah pasukan lain yang stadium dan padang lawa," ujar Esdjuna Sudzhailie.

Ada yang memuji usaha FAM untuk meneruskan tradisi Pestabola Merdeka. Mereka berharap agar ia diteruskan setiap tahun dan menjadi tradisi bola sepak negara.

"Harap FAM kekalkan Pestabola Merdeka diadakan setiap tahun macam Piala Raja Thai," ujar penyokong bernama Zulhilmi Abdul Ghani.

"Pestabola Merdeka sepatutnya diadakan setiap tahun, menang kalah dan dari negara mana pun lawan tu tak penting, yang penting ada game," komen Shukrie Ac. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram