[VIDEO] Coach dedah 'Messi Kampar' pernah sertai Anak Rimau, main bola sampai wakili Perak


  • Podium
  • Isnin, 01 Jul 2024

Khalif (depan, dua kanan) ketika mewakili Malaysia dalam kejohanan Copa Bellmare Bawah 11 Tahun di Kanagawa, Jepun. — Facebook

PADA Jumaat, tular satu klip memaparkan kebolehan seorang pemain muda memiliki kebolehan untuk menggelecek lawan meskipun bertubuh kecil.

Dia yang difahamkan beraksi dalam kejohanan Bawah 12 Tahun (B-12) antara sekolah agama di Kampar, Perak menjadi bahan bualan orang ramai ketika ini.

Difahamkan, pemain cilik tersebut merupakan murid yang bersekolah di Sekolah Rendah Integrasi Teras-Islam (SRITI), Kampar, Perak.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Messi' Malaysia dikesan di Kampar

BACA LAGI: 'Background' Messi Kampar akhirnya terbongkar, netizen pantas buat kerja

Berkat kelincahannya di atas padang, ada pula yang mula melabel 'ubi muda' cilik itu sebagai 'Messi Kampar' kerana dia mempunyai potensi untuk bergelar seorang pemain berkualiti pada masa akan datang.

Dalam pada itu, jurulatih SRITI Al-Muttaqin Taiping, Mohamad Bukhairi Ridha Mohd Bakri mendedahkan bahawa penglibatan Muhammad Khalif Khairul Azmin atau mesra dengan panggilan Khalif itu bukanlah kali pertama dalam bola sepak.

"Khalif sebelum ini pernah terlibat dengan kelab luar seperti Anak Rimau Raintown FC dan Akademi Tunas Bukit Gantang," katanya kepada Majoriti.

Bercakap mengenai perwatakan Khalif di sekolah, Bukhairi sempat berkongsikan sedikit sebanyak mengenai pemain cilik berumur 11 tahun itu.

"Khalif adalah seorang pengawas di sekolah. Seorang yang matang dan bijak dalam menguruskan masa terutama pembelajaran dan sosial. Sangat disenangi rakan-rakan," ujarnya.

Menurut Bukhairi yang juga merupakan salah seorang pendidik di SRITI, Khalif pernah mewakili negeri Perak dalam kejohanan bola sepak seawal umur lima tahun.

"Khalif memang berbakat daripada kecil sebab pernah mewakili Perak dalam Kejohanan Sukan PASTI Malaysia seawal umur lima enam tahun," katanya.

Ditanya mengenai sokongan daripada pihak sekolah terhadap penglibatan Khalif dalam bola sepak, Bukhairi mendedahkan bahawa pihak mereka sentiasa memberikan dorongan kepada bakal pelapis kebangsaan itu.

"Pihak kami sentiasa memberikan sokongan terhadap Khalif.

"Sentiasa memberikan ruang dan peluang kepada Khalif untuk kembang bakat dengan program-program bola sepak. Seperti Program Pembangunan Bola Sepak negara (NFDP) dan kejohanan-kejohanan luar yang lain," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram