[VIDEO] Dituduh buat isyarat tak sopan, Bellingham jawab hanya gurauan rakan akrab


  • Podium
  • Isnin, 01 Jul 2024

Tangkap layar memaparkan Bellingham (kanan) menunjukkan isyarat lucah dalam pusingan 16 Euro 2024 berdepan Slovakia pada Isnin.

IMPIAN England untuk mara ke pusingan suku akhir Euro 2024 hampir terkubur selepas Slovakia tampil cemerlang menyekat kemaraan jentera serangan The Three Lions itu dalam perlawanan pusingan 16 pada Isnin.

Slovakia yang garang pada babak pertama berjaya merobek pintu gawang England seawal minit ke-25 menerusi Ivan Schranz sekali gus mendahului aksi tersebut dengan 0-1.

Memasuki babak kedua, England yang bercita-cita besar untuk bergelar juara Euro musim ini bagaimanapun terpaksa menelan pahit apabila jaringan penyamaan Phil Foden pada minit ke-51 dibatalkan kerana ofsaid.

BACA LAGI: [VIDEO] Pemain badminton China rebah, meninggal dunia ketika tunggu servis lawan

BACA LAGI: Menyerlah di BG Pathum, bek The Rabbits antara pemain serantau boleh isi kuota Asean Pahang, KDN dan Kedah

Masih mahu memberi cabaran, England menyamakan kedudukan 1-1 menerusi tandukan Harry Kane pada minit ke-91.

Memasuki minit-minit akhir perlawanan, penyerang muda Real Madrid, Jude Bellingham mencetak gol kemenangan sekali gus membantu England mara ke suku akhir Euro 2024.

Gembira dengan gol tersebut, Bellingham dipercayai menunjukkan isyarat lucah kepada barisan pemain Slovakia yang berada di bangku simpanan.

Tindakan penyerang Real Madrid itu mendapat kecaman penyokong bola sepak kerana dianggap tidak menghormati pihak lawan.

Enggan memanjangkan isu berkenaan, Bellingham tampil menjelaskan keadaan sebenar menerusi akaun Twitter (X) miliknya pada Isnin.

"Isyarat tersebut hanya gurauan untuk beberapa rakan akrab yang berada dalam permainan.

"Tiada maksud untuk mana-mana pihak tetapi Slovakia bermain dengan baik aksi tersebut," tulisnya di laman X.

Dengan kemenangan 2-1 itu, England mara ke pusingan suku akhir Euro 2024 dan akan bertemu Switzerland 7 Julai nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram