Peka ancaman Selangor FC di MBPJ, Jordan Mintah dedah Kuching City layak ke semifinal Piala FA


  • Podium
  • Isnin, 01 Jul 2024

Kuching City yang meraih kemenangan aksi pertama suku akhir Piala FA berdepan Selangor FC menaruh harapan tinggi untuk layak ke semifinal. — Facebook/Kuchingcityfc

KUCHING City FC mengejutkan naib juara Liga Super 2023, Selangor FC dengan kemenangan 2-1 pada aksi suku akhir pertama Piala FA 2024 Stadium Bandaraya, Kuching, Sarawak.

Skuad kendalian Nidzam Jamil bermula baik apabila membuka jaringan menerusi Ronnie Fernandez pada minit ke-31.

Bagaimanapun, tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan menerusi pertahanannya, James Okwuosa sebelum menuju ke bilik persalinan.

BACA LAGI: Nidzam mahu anak buah fokus, JDT tetap tenang

BACA LAGI: [VIDEO] Dituduh buat isyarat tak sopan, Bellingham jawab hanya gurauan rakan akrab

WhatsApp Image 2024-07-01 at 16.02.13

Mintah (dua kiri) mencetak gol kemenangan buat Kuching City aksi pertama suku akhir Piala FA. Facebook/Kuchingcityfc

Kegembiraan The Cats berganda selepas penyerang kelahiran Ghana, Jordan Mintah meletakkan pasukan bimbingan Aidil Sharin Sahak melakar kebangkitan pada minit-minit akhir yang sekali gus menyaksikan keputusan 2-1 milik pasukan tuan rumah.

Dalam pada itu, menjelang aksi timbal balik pada Sabtu, skuad kendalian Aidil Sharin tampak bersemangat untuk meraih slot ke semifinal Piala FA.

Bekas pemain Terengganu FC, Mintah selaku watak penting dalam kemenangan 2-1 itu berkata, kejayaan itu terhasil dengan kerjasama yang diberikan oleh rakan sepasukannya.

"Saya amat bangga dengan rakan sepasukannya dan gembira dengan kemenangan ini. Kami mampu meraih kemenangan ini kerana taktikal yang diterapkan oleh coach Aidil.

"Dengan kemenangan ini, kami sudah bersedia untuk menghadapi cabaran Selangor untuk aksi timbal balik nanti," katanya.

Meskipun hanya memiliki kelebihan satu gol untuk dibawa ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor 6 Julai nanti, Mintah bagaimanapun percaya bahawa Kuching City mempunyai peluang yang cerah untuk layak ke semifinal Piala FA.

"Kuching City masih ada peluang untuk menambah jaringan dan layak ke semifinal.

"Seperti aksi pertama, kami percaya coach Aidil mempunyai taktikal dan strategi untuk mengikat jentera serangan Selangor FC.

"Untuk aksi timbal balik nanti, permainan kami akan lebih teratur dan perlu kekal fokus dengan taktikal yang diterapkan oleh coach Aidil.

"Saya percaya kami akan ke semifinal," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram