'Faisal kuat, lagi 3 minggu boleh turun padang, tapi tak mahu dia ada kecederaan lain'


  • Podium
  • Ahad, 30 Jun 2024

Faisal Halim dijangka akan kembali berlatih tidak lama lagi. — Selangor FC

PENYOKONG Selangor FC boleh menjangkakan yang pemain sayap, Faisal Halim akan kembali menjalani latihan dalam masa terdekat.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, Faisal dijangka boleh kembali berlatih dalam tempoh tiga minggu lagi.

Sebelum ini, bapanya, Halim Saad berkata yang tahap pemulihan pemain Harimau Malaya itu sudah mencapai 95 peratus.

BACA LAGI: Tinggal 5 peratus lagi Faisal Halim akan pulih sepenuhnya

BACA LAGI: Rakan baik Faisal Halim seru semua fans Selangor imbas kod QR ketika aksi tanpa penyokong lawan JDT

447971046_979286890869706_3186550585345893168_n

Faisal (tiga dari kiri) sewaktu kemunculan pertamanya sejak disimbah asid. — Selangor FC

Kata Johan, sejak menghadirkan diri buat pertama kali di khalayak umum pada 13 Jun, perkembangan Faisal dilihat semakin positif. Ia dapat dilihat apabila lukanya semakin kering.

Johan mengatakan dalam masa terdekat Faisal akan kembali berlatih tetapi ia tertumpu kepada latihan ringan yang tidak berkaitan bola sepak.

"Sejak sidang media tempoh hari, luka dia semakin kering dan amat positif. Mungkin dua atau tiga minggu lagi akan mula berada di padang, melakukan latihan ringan, bukan bermain bola.

"Tahap kecergasannya sekarang di bawah dan rendah, seperti pramusim kerana dua bulan tidak bermain bola langsung, tiada aktiviti fizikal," ujar Johan.

Walaupun mengakui Faisal mempunyai semangat dan keazaman tinggi untuk kembali bermain, tetapi Johan mengatakan Selangor tidak terburu-buru untuk mendedahkan pemain tersebut kepada bola sepak.

Jelas sekali, CEO Gergasi Merah itu tidak mahu ada kecederaan lain datang kepada Faisal jika terlalu awal didedahkan dengan bola sepak.

"Pada peringkat permulaan, kita tidak mahu tergesa-gesa kerana takut akan menyebabkan kecederaan lain pula.

"Walaupun kita tahu dia seorang yang kuat tetapi kita tidak boleh mendedahkannya kepada kecederaan yang tidak sepatutnya," jelas Johan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram